Jangan amal 'keganasan bola sepak' terhadap pegawai perlawanan

Sivasundaram
Sivasundaram
A
A
A

PEMAIN tempatan mahupun import dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) diingatkan supaya tidak mengamalkan 'keganasan bola sepak' terutama terhadap pegawai perlawanan atau bakal berdepan hukuman berat.

Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram berkata, pegawai perlawanan perlu diberikan ruang dan peluang menjalankan tugas di atas padang manakala pemain tidak boleh bertindak mengikut emosi atau cuba mempengaruhi keputusan pengadil dengan tindakan tertentu.

Menurut Sivasundaram, perhatian yang lebih kepada pemain akan diberikan FAM termasuk sikap sesetengah pemain yang gemar membuat simulasi dalam usaha badan induk bola sepak negara itu membendung isu keganasan terhadap pengadil selain mengangkat sikap profesionalisme.

"Tolong main bola sepak secara profesional, tolong jangan tolak, sentuh dan memberikan kata-kata kesat kepada pengadil," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengadil FAM di Wisma FAM di Kelana Jaya di sini, pada Khamis.

"Pengadil didapati buat kesilapan dalam perlawanan pasti akan dihukum, begitu juga pemain, FAM akan lebih serius dalam isu ini terutama dari aspek (kelakuan) pemain. Jadi, saya harap semua dapat berikan kerjasama yang baik, aksi lakonan semuanya perlu dihentikan," kata beliau.

Sivasundaram turut mengesahkan mesyuarat hari ini bersetuju untuk memisahkan sepenuhnya tanggungjawab pengadil bola sepak dan futsal di dalam negara bermula musim 2022.

Ia bermakna bermula 2021, individu yang mengambil lesen pengadil bola sepak hanya akan mengadili perlawanan bola sepak dan tidak dibenarkan menerima tugas mengadili aksi melibatkan perlawanan futsal pada masa hadapan.

Pada masa sama, Sivasundaram yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM mendedahkan setakat 99 perlawanan Liga-M yang telah berlangsung, FAM hanya menerima enam aduan rasmi daripada pasukan bertanding.

Artikel Berkaitan:

Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam menjelaskan daripada jumlah itu, lima aduan diterima sepanjang 54 perlawanan Liga Super manakala hanya satu aduan rasmi daripada keseluruhan 45 aksi Liga Premier.

"Aduan diterima oleh sekretariat adalah berkenaan pertikaian keputusan pengadil, bukan semua aduan diterima itu betul, ada aduan yang mungkin lebih daripada sekadar pandangan sebelah pihak," kata Stuart. - Bernama