X

Kindly register in order to view this article
!

Bank Rakyat bakal lancar RAKYATpreneur 2.0

A
A

KUALA LUMPUR - Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) bakal melancarkan RAKYATpreneur 2.0 bermula Julai sehingga hujung tahun ini dengan peruntukan dana hampir RM2 juta bagi menyantuni lebih 200 orang usahawan asnaf yang bakal dipilih dari seluruh negara.

Bank Rakyat berkata, ia adalah berikutan kejayaan program rintis RAKYATpreneur yang dilancarkan pada Disember 2020 yang mana telah berjaya meningkatkan hasil jualan perniagaan 20 orang usahawan mikro antara 20 dan 30 peratus hanya kurang daripada enam bulan.

“Dana tersebut akan diagihkan kepada perniagaan daripada latar belakang yang kurang berkemampuan seperti usahawan asnaf yang berpotensi tinggi untuk memperluaskan perniagaan dan maju dalam sektor keusahawanan.

“Peserta RAKYATpreneur 2.0 yang layak akan diberi latihan dan bimbingan serta pemantauan secara inklusif selama enam bulan dengan penyediaan modul yang lebih komprehensif,” kata bank itu dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kementeriannya sentiasa menekankan kepada agensi akan peranan mereka dalam memajukan sosioekonomi negara dengan mengambil kira keperluan masyarakat terutama sekali golongan yang memerlukan seperti asnaf dan B40.

“Justeru, saya berpendapat bahawa program sebegini harus diperkembangkan ke peringkat seterusnya agar lebih ramai lagi usahawan dapat dibantu sekali gus meningkatkan status komuniti asnaf dan seterusnya menjana ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Abd Rani Lebai Jaafar berkata, pelbagai program dan inisiatif Rakyatpreneur 2.0 telah dirancang bagi memastikan ia terus membantu meningkatkan pendapatan peserta sekurang-kurangnya sebanyak 30 peratus dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan pada masa hadapan.

Menurutnya, bank itu yakin dapat meneruskan program tersebut pada skala yang lebih besar berdasarkan penilaian RAKYATpreneur rintis yang mana majoriti pesertanya menunjukkan hasil jualan bulanan yang meningkat.

“Para peserta juga lebih berkreativiti dalam mempelbagaikan kanvas perniagaan dengan mencipta penjenamaan sendiri dan jualan dalam talian,” kata Abd Rani.

Bagi yang berminat menyertai program tersebut boleh mendapatkan maklumat lanjut dan borang pendaftaran di laman web rasmi Bank Rakyat www.bankrakyat.com.my bermula 1-31 Mei, 2021. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!