Kerjasama negara luar bawa pulang 29 rakyat Malaysia di Sudan

Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. - Foto: Bernama
Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. - Foto: Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia kini bersiap siaga membawa pulang 29 rakyat Malaysia yang masih berada di Sudan melalui jalinan kerjasama dengan beberapa buah negara asing.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, Wisma Putra telah berhubung dengan beberapa negara sahabat seperti Arab Saudi, Turkiye, Qatar, Emiriah Arab Bersatu, China dan Amerika Syarikat serta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi membantu proses membawa rakyat Malaysia keluar dari Sudan sebaik keadaan mengizinkan.

Ketika ini beliau memaklumkan, keadaan di Sudan masih tegang dengan pertempuran antara kedua-dua pihak bertelagah yang dilapor masih sengit terutama di kawasan strategik di Khartoum.

"Lapangan Terbang Antarabangsa Khartoum masih belum dibuka dan ini menyukarkan perancangan untuk membawa keluar rakyat asing dari pelbagai negara, termasuk Malaysia.

"Wisma Putra dengan dibantu agensi kerajaan yang lain seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan keselamatan rakyat Malaysia di Sudan dan membawa mereka pulang ke tanah air dengan selamat," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu Zambry turut memaklumkan, Pasukan Khas Operasi Sudan yang turut disertai beberapa agensi kerajaan sudah membuat persiapan dan perancangan rapi bagi memastikan keselamatan serta kebajikan rakyat Malaysia di Sudan dipelihara.

Beliau menjelaskan, pihaknya telah mengaktifkan 'Operasi Sudan' yang bertugas 24 jam sejak krisis terbabit berlaku.

"Kesemua 29 rakyat Malaysia mengikut nasihat dikeluarkan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum supaya terus berada di tempat masing-masing.

"Pasukan khas juga sedang berhubung rapat dengan Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum mengenai kaedah paling selamat untuk menambah bekalan keperluan asas, khususnya makanan dan ubat-ubatan kepada kesemua mereka di Sudan," jelasnya.

Sementara itu beliau berkata, Wisma Putra menjunjung kasih atas keprihatinan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terhadap nasib dan kebajikan pegawai Kedutaan Besar serta rakyat Malaysia di Sudan berikutan krisis sedang berlaku di negara itu.

"Situasi di Sudan terlalu kompleks. Ini membabitkan perbalahan politik antara dua pihak utama 'Transitional Sovereignty Council'.

"Berdasarkan laporan diterima, kedua-dua pihak masih belum mencapai kata sepakat untuk menamatkan pertempuran bersenjata yang sudah meletus sejak dua hari lalu.

“Malaysia berharap pemimpin kedua-dua kumpulan terbabit dapat mendengar rayuan masyarakat antarabangsa supaya menghentikan pertempuran dengan serta-merta sekali gus kembali ke meja perundingan bagi mencari titik persefahaman untuk menyelesaikan segala isu atau perbalahan berbangkit,” katanya.

habis//