Penduduk bantah SJKC, minta bina Sekolah Kebangsaan

Sebahagian penduduk yang berkumpul menyuarakan bantahan pembinaan SJKC di Bandar Kinrara pada Ahad.
Sebahagian penduduk yang berkumpul menyuarakan bantahan pembinaan SJKC di Bandar Kinrara pada Ahad.
A
A
A

PUCHONG - Penduduk BK5B Bandar Kinrara di sini membantah cadangan pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) baharu di kawasan itu.

Pengerusi Persatuan Penduduk BK5B Bandar Kinrara, Mohamad Haron Mohamad Sidik berkata, pihaknya hanya mengetahui berkenaan cadangan tersebut selepas melihat papan cadangan projek dipasang kira-kira enam hari lalu.

Menurutnya, penduduk menolak cadangan tersebut kerana sepatutnya kawasan itu dibangunkan Sekolah Kebangsaan (SK) yang menghadapi masalah kepadatan murid hingga memaksa ketiga-tiga sekolah melaksanakan sekolah dua sesi.

“SJKC di sini sudah ada empat buah, manakala SK hanya ada tiga. Jadi saya tak faham mengapa SJKC yang mahu dibangunkan sedangkan majoriti penduduk di kawasan ini adalah orang Melayu.

“Permohonan SK ini pernah dibuat kira-kira empat tahun lalu, tetapi tidak diberikan perhatian ketika itu mungkin kerana kerajaan tiada peruntukan menyebabkannya tidak dilaksanakan sehingga kini,” katanya pada protes aman membantah pembinaan SJKC berhampiran BK5 Bukit Kinrara pada Ahad.

Mohamad Haron
Mohamad Haron

Kira-kira 30 penduduk hadir menyuarakan bantahan.

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Armand Azha Abu Hanifah.

Artikel Berkaitan:

Mohamad Haron berkata, SK baharu perlu dibina segera dan dilihat lebih praktikal serta memanfaatkan semua kaum berbanding pembinaan SJKC.

Sementara itu, Armand Azha berkata, satu laporan polis akan dibuat oleh penduduk disusuli pihaknya untuk mendapatkan nasihat peguam bagi mencari penyelesaian terbaik berhubung isu itu.

“Selain itu, kita minta pejabat Menteri Besar (MB) memberikan peluang kepada saya dan juga penduduk untuk berjumpa. Isu ini sudah di bawah perhatian MB dan Kementerian Pendidikan, semua perlu duduk berbincang.

“Kami tak menolak pembinaan sekolah cuma mahu kemudahan itu diberikan keutamaan kepada penduduk sekitar di sini yang majoriti adalah Melayu,” katanya.

Armand Azha
Armand Azha

Katanya, pihaknya dimaklumkan tapak pembinaan SJKC itu sebelumnya adalah tanah rizab SK yang telah ditukar milik.

“Kami nak tahu bagaimana statusnya boleh diubah ke SJKC, adakah telah mendapat kelulusan oleh kerajaan negeri?

“Jika masih nak luluskan juga pembinaan SJKC ini, kami minta MB dan kepimpinan bina SK juga bagi penduduk Bandar Kinrara yang memerlukan pendidikan sama,” katanya.