Cinta Gaza Malaysia ke tujuh negara

Johan
Johan
A
A
A

BANGI - Persatuan Cinta Gaza Malaysia di bawah projek Ramadan4Ummah akan memperluas sumbangannya ke tujuh negara pada tahun ini.

Jika sebelum ini fokus bantuan hanya ke Semenanjung Gaza, Palestin namun kali ini manfaatnya akan turut dinikmati penduduk di Syria, Nigeria, kem pelarian Moria di Greece, Uyghur, Indonesia serta dalam negara.

Ketua Pegawai Operasinya, Johan Mohammad berkata, program memasuki tahun kelapan itu menyasarkan kutipan sebanyak RM7 juta berbanding RM3 juta pada tahun lalu.

Menurutnya, wang sumbangan tersebut akan digunakan untuk program iftar, sumbangan Ramadan dan persiapan Aidilfitri serta projek jangka panjang dalam sektor pertanian selain perubatan.

“Bantuan ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 20,000 keluarga di tujuh negara yang terlibat.

“Projek jangka masa panjang khususnya di Gaza bakal membantu lebih 800,000 penduduk yang memerlukan,” katanya kepada Sinar Harian.

Johan berkata, setakat ini sebanyak RM1.6 juta berjaya dikumpulkan sejak Mac lalu dan telah diagihkan secara berperingkat mengikut keperluan.

“Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzzaman yang berada di Palestin akan mengagihkan sumbangan tersebut kepada penduduk di sana,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Johan berkata, fokus bantuan bukan hanya sekali seumur hidup, sebaliknya pihaknya merangka peluang pekerjaan termasuk pembukaan ladang strawberi untuk penduduk Palestin menjana pendapatan.

Muhammad Nadir Al-Nuri (tengah) memberikan sumbangan pek iftar Ramadan kepada seorang kanak-kanak di Syria.
Muhammad Nadir Al-Nuri (tengah) memberikan sumbangan pek iftar Ramadan kepada seorang kanak-kanak di Syria.

Sementara itu, beliau berkata, skop bantuan akan diperluas ke negara lain pula selepas melihat keperluan di tempat lain juga agak membimbangkan.

“Contohnya, kem pelarian Moria yang menempatkan warga Palestin dan pelarian dari negara lain di Greece semakin meningkat daripada 3,000 orang kini mencecah 13,000 orang.

“Bantuan terhad oleh kerajaan di sana tidak mencukupi untuk menampung keperluan pelarian. Ia pastinya memerlukan sokongan dan bantuan luar,” katanya.

Mengulas sumbangan di Malaysia pula katanya, bantuan dalam negara adalah berterusan, cuma sebelum ini tidak dihebahkan kerana dilakukan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.

Beliau menyasarkan kutipan RM7 juta itu mampu dicapai sebelum Ramadan berakhir.

Sumbangan itu boleh disalurkan melalui laman web infakpalestin.com atau secara terus ke dalam akaun Maybank 5648 1050 7826 (Persatuan Cinta Gaza Malaysia) dengan meletakkan rujukan Ramadan4Ummah.