Eropah bergegar angkara ESL

Sebahagian daripada peminat fanatik Chelsea yang membuat protes terhadap penyertaan kelab Inggeris itu dalam ESL.
Sebahagian daripada peminat fanatik Chelsea yang membuat protes terhadap penyertaan kelab Inggeris itu dalam ESL.
A
A
A

FLORENTINO PEREZ pastinya menjadi individu paling kecewa ketika ini susulan satu demi satu kelab gergasi membuat keputusan untuk menarik diri daripada bersaing di pentas Liga Super Eropah (ESL) yang dijadualkan pada musim 2024/2025.

Selepas menerima kecaman dan tekanan daripada segenap aspek, kesemua kelab besar England - Manchester United, Manchester City, Liverpool, Chelsea, Arsenal serta Tottenham Hotspur akhirnya mengucapkan 'selamat tinggal' kepada ESL pada Rabu.

Atletico Madrid dan Inter Milan juga secara rasmi menarik diri, dengan AC Milan dan Barcelona dilapor bakal menyusul, sekali gus meninggalkan dua lagi kelab besar - Real Madrid dan Juventus sahaja yang belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung penyertaan mereka setakat ini.

Umum sedar penganjuran liga itu bukan satu idea baharu yang dicetuskan sejak awal 1980-an lagi, sebelum bersungguh-sungguh cuba direalisasikan Perez sebagai Pengerusi ESL. Belum pun sepak mula, tetapi mengapakah ESL sudah dianggap terkubur sebelum waktunya?

Jika dilihat kepada senario yang berlaku sejak cadangan penganjuran ESL diumumkan pada Ahad lepas, Perez 'ditembak' daripada pelbagai sudut tidak tidak kira dalam kalangan peminat, pemain mahupun Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) serta Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).

Agensi BBC Sport melaporkan, Perez yang juga Presiden Real Madrid percaya kesemua kelab yang terjejas akibat pandemik Covid-19 akan benar-benar 'mati' sekiranya penganjuran ESL tidak dilaksanakan.

Perez dilaporkan berkata, ESL mampu menjadi platform kepada kelab yang terlibat untuk kembali menjana pendapatan selepas terkesan ekoran krisis pandemik Covid-19 sejak awal tahun lalu.

"Remaja berusia antara 16 dan 24 tahun sudah mula hilang minat terhadap bola sepak, jadi sukan ini harus segera berkembang. Kita harus menjadikan kejohanan itu lebih kompetitif untuk disaksikan seluruh dunia," jelas Perez.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, Perez juga menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa ESL lebih berorientasikan ganjaran wang yang jauh lebih lumayan, selain mengakibatkan jurang antara kelab kaya dengan kelab kecil yang lain menjadi semakin ketara.

"Ini bukan sesuatu untuk orang kaya. Kami melakukan ini demi menyelamatkan bola sepak untuk situasi yang sangat sukar. Sudah tentu saya sedih dan kecewa jika ESL dihentikan sebegitu saja,.

"Tetapi percayalah segala-galanya masih belum berakhir. Apa yang boleh saya katakan, ESL kini dalam mod bersedia untuk dimulakan dan masih mengikut perancangan asal," ujarnya.

Pengerusi Juventus, Andrea Agnelli yang juga Timbalan Presiden ESL pula tanpa berselindung turut mengakui kejohanan itu kini hanya menunggu masa untuk terkubur selepas hampir semua kelab menarik diri.

"Secara jujurnya, ia (ESL) tidak akan diteruskan. Cuma, saya masih percaya projek itu amat menarik," katanya.

Percaya atau tidak, majoriti pemerhati bola sepak menganggap polemik berkaitan ESL sebenarnya berpunca daripada rapuhnya kredibiliti UEFA yang didakwa tidak adil kerana gagal mengagihkan segenap keuntungan meliputi hak penyiaran selain ganjaran kemenangan yang jauh lebih rendah.

Jika UEFA dan FIFA tidak berusaha dengan kadar segera untuk mengatasi masalah ini, jangan terkejut sekiranya penganjuran ESL akan benar-benar akan menjadi kenyataan suatu hari nanti.