Tempoh sah laku PLKS dilanjutkan lagi setahun: Hamzah

Hamzah Zainudin
Hamzah Zainudin
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan tempoh sah laku Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) selama setahun lagi kepada pekerja asing sedia ada terutama dalam sektor perladangan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, bagaimanapun pelanjutan tersebut hanya akan diberikan kepada pemegang PLKS yang hampir tamat tempoh bagi tahun ke-13 dengan kadar levi tahun terakhir.

“Dalam tempoh waktu ini ada di antara mereka yang dah nak hampir tamat tempoh PLKS.

“Jadi, kalau tamat bulan Mei tahun ini, kita akan lanjutkan sehingga Mei tahun depan,” katanya dalam sidang akhbar Mesyuarat Jawatankuasa bersama Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan mengenai pengurusan pekerja asing kali ke-5 di Kementerian Dalam Negeri, di sini, pada Khamis.

Mengulas lanjut beliau berkata, pelanjutan tempoh itu juga adalah kerana sektor berkenaan memberikan pulangan paling besar ketika ini.

“Selain itu, kita juga tidak mahu mengalami kerugian hampir RM10 bilion jika kita tidak cukup pekerja. Maka sebab itu kita nak buka dan beri pelanjutan ini secara automatik kepada mereka,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kerajaan juga akan membuka Program Rekalibrasi Tenaga Kerja kepada majikan dalam beberapa sub sektor perkhidmatan.

“Ini termasuklah sub sektor restoran, sektor kargo, sektor borong dan runcit serta sektor pembersihan dan pencucian,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pihaknya turut bersetuju untuk memperluas syarat kelayakan penyertaan Program Rekalibrasi tersebut mengikut beberapa kategori termasuk pendatang asing tanpa izin (PATI) yang telah mendaftar bagi Program Rehiring dan 6P tetapi tidak melengkapkan proses permohonan dan tidak menerima PLKS.

“Kemudian syarat ini juga akan diberikan kepada PATI yang lari tetapi tidak dilaporkan oleh majikan selain mempunyai dokumen perjalanan negara asal yang tulen dan sah,” katanya.