Hina Permaisuri: Kerajaan perlu ambil tindakan terhadap Fahmi Reza

Ahmad Fadhli menunjukkan laporan polis yang dibuat.
Ahmad Fadhli menunjukkan laporan polis yang dibuat.
A
A
A

PASIR MAS - Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari mahu kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap seorang pengguna laman sosial Facebook yang didakwa menghina Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menurutnya, individu yang menggunakan nama Fahmi Reza bertindak demikian melalui satu entri yang dipercayai menghina Raja Permaisuri Agong dengan perkataan 'This is dengki ke?'

Ahmad Fadhli yang juga Timbalan Ketua Pemuda Pas berkata, pihaknya telah melakukan pemantauan dan sememangnya individu berkenaan dipercayai sudah banyak kali menghasilkan lakaran kartun yang mengganggu sensitiviti perkauman dan agama masyarakat majmuk.

"Memang tajuknya ringkas sahaja, tetapi saya percaya ia mempunyai niat untuk menghina Raja Permaisuri Agong.

“Tindakan ini bagi saya cukup melampau dan dia tidak sepatutnya bertindak demikian kerana Raja Permaisuri Agong adalah raja dalam negara kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di sini pada Khamis.

Ahmad Fadhli berkata, pihak berkuasa perlu bertindak tegas dan membawa individu tersebut ke muka pengadilan supaya ia tidak menjadi ikutan masyarakat lain selepas ini.

Katanya, Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi tidak sepatutnya dicemari dengan tindakan tersebut walaupun kita diberikan hak bersuara.

Artikel Berkaitan:

"Kita jangan ganggu sensitiviti agama dan kaum lain, tambahan lagi bila melibatkan isu menghina institusi beraja ini. Jangan pula kita ambil perkara ini sebagai sambil lewa sahaja," katanya.