Sidang Parlimen perlu diteruskan untuk sokong program imunisasi

NURUL IZZAH ANWAR
NURUL IZZAH ANWAR
A
A
A

SHAH ALAM - Prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan sidang Parlimen perlu diteruskan bagi menyokong Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berkata, ia bagi mengatasi masalah segelintir rakyat yang masih berbelah bahagi untuk menerima vaksin dengan kemunculan pelbagai anti vaksin yang pesat di media sosial.

"Permulaan yang baik menerusi sesi PAC bersama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) sewajibnya diteruskan menerusi sidang Parlimen yang dibuka serta-merta.

"Dewan Rakyat adalah medan semak imbang pihak eksekutif, tempat berlangsungnya penggubalan undang-undang bagi melindungi hak rakyat dan perbahasan isu-isu kritikal bukannya semata-mata pertarungan membuang undi," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Nurul Izzah berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada Rabu bahawa beliau sentiasa terbuka untuk disoal, dikritik dan disiasat berhubung pelaksanaan program vaksinasi terbesar negara.

Merujuk tuntutan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya siasatan bebas dilakukan di bawah Parlimen terhadap program tersebut serta perolehan vaksin, beliau berkata, beberapa kontrak pembelian vaksin telahpun didedahkan sepenuhnya kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen pada 5 Januari lalu.

Khairy berkata, antara ahli PAC yang hadir dan memperhalusi kontrak perolehan vaksin pada hari tersebut ialah Nurul Izzah.

Mengulas lanjut, Nurul Izzah turut mengesahkan PAC turut berpuas hati dengan penjelasan JKJAV pada 5 Januari lalu berhubung proses perolehan vaksin, harga dan jadual penghantaran.

Artikel Berkaitan:

"Malaysia berdepan dengan serangan pandemik yang amat mengesankan kepada sistem kesihatan, sosio ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Tumpuan kita perlu menjurus kepada perlindungan berserta kebajikan rakyat.

"Mencapai imuniti kelompok sehingga 80 peratus adalah salah satu tiang seri utama dalam melindungi kita semua dan mengembalikan ekonomi Malaysia ke arah tuju yang lebih positif," katanya.

Katanya, kekecewaan atau kritikan dalam kelemahan urus tadbir negara tidak seharusnya memberi kesan negatif atau merencat perkembangan program imunisasi.

"Fokus utama kita adalah untuk keluar dari wahana pandemik dan mencapai sasaran 80 peratus imuniti kelompok," katanya.