X

Kindly register in order to view this article
!

Pinjaman bahan bacaan digital meningkat dua kali ganda tahun 2020

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri -Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Statistik pinjaman bahan-bahan bacaan secara digital pada 2020 telah menunjukkan peningkatan lebih dua kali ganda iaitu sebanyak 367,306 peminjaman berbanding 167,374 pada 2019, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Nancy Shukri.

Beliau berkata, ini berikutan kempen ‘Sila Duduk Di Rumah Dan Baca Buku’ yang dianjurkan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu.

Nancy berkata, kempen itu meredakan kegelisahan awam dan menyediakan idea kepada masyarakat untuk mengisi waktu di rumah sepanjang PKP dengan melayari perkhidmatan PNM secara dalam talian termasuk perkhidmatan u-Pustaka yang juga dikenali sebagai Perpustakaan Digital.

“Trend pembacaan hari ini telah mengalami transformasi yang mana masyarakat mudah untuk mengakses maklumat menggunakan peranti elektronik seperti telefon pintar dan peranti. Selaras dengan norma baharu, pelaksanaan program melalui platform digital menjangkau pelosok masyarakat meskipun mereka berada jauh di pedalaman.

“Dengan konsep maklumat di hujung jari, pelbagai genre e-buku, e-majalah, e-surat khabar, e-jurnal dan e-artikel boleh dicapai dengan mudah dan percuma pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja,” katanya pada ucapan perasmian secara maya program 'Jom Baca Bersama 10 Minit' anjuran PNM, di sini pada Khamis.

Program tahunan itu dianjurkan bersempena sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia yang diraikan pada setiap 23 April sebagai simbolik kepada penggalakan budaya membaca sebagai amalan kehidupan harian.

Program yang berjalan serentak di seluruh negara bermula jam 11 pagi pada Khamis dianjurkan PNM dengan kerjasama Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia dan Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM).

Dalam pada itu, Nancy berkata, setakat Disember 2020, PNM telah menjalankan 202 program dan aktiviti berkaitan galakan membaca atau literasi maklumat dengan penglibatan lebih 340 ribu penyertaan secara fizikal dan dalam talian.

“PNM turut kolaboratif dengan Kementerian Pendidikan Malaysia menerusi Pejabat Pelajaran Daerah di mana 1,094 Perpustakaan Desa telah digunakan sebagai pusat rujukan dan peminjaman buku secara berkelompok untuk menyokong program Nadi Ilmu Amalan Membaca.

“Selain itu, pelaksanaan program secara kerjasama adalah Program Literasi Media dan Maklumat iaitu program yang bertujuan meningkatkan kemahiran serta teknik pencarian maklumat berkesan bagi pembelajaran sepanjang hayat,” katanya.

Sementara itu, Bahagian Pengurusan Pengetahuan Bernama dengan kerjasama Bahagian Pembangunan Latihan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) turut menganjurkan program 'Jom Baca Bersama 10 Minit' sebagai tanda sokongan kepada budaya membaca, penerbitan dan hak cipta tempatan.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarang Bernama Khairdzir Md Yunus merangkap Pengerusi Kelab Bibliofi Bernama yang mengetuai bacaan buku dan merasmikan aktiviti Clientele Café iaitu Bazar Ramadan dan Aidilfitri bagi menggalakkan petugas berkunjung ke perpustakaan untuk meminjam buku serta menyemarakkan suasana Ramadan dan sambutan Aidilfitri. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!