Polis siasat dua lelaki bergaduh sambil rakam video di lebuh raya

Tangkap layar rakaman video tular memaparkan kedua-dua pemandu saling merakam antara satu sama lain di Lebuhraya Utara Selatan, di Muar pada Sabtu.
Tangkap layar rakaman video tular memaparkan kedua-dua pemandu saling merakam antara satu sama lain di Lebuhraya Utara Selatan, di Muar pada Sabtu.
A
A
A

MUAR - Polis menyiasat tindakan dua pemandu lelaki yang bergaduh sambil masing-masing membuat rakaman video di Kilometer 134 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di sini pada Sabtu.

Menerusi satu rakaman video kejadian berdurasi 46 saat yang tular di media sosial menunjukkan seorang lelaki berusia 32 tahun berang dan tidak puas hati mengetuk cermin sebuah kereta dipandu lelaki berusia 26 tahun.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar mengesan kejadian itu menerusi video berkenaan yang dimuat naik dalam satu Facebook pada jam 12.30 petang Isnin.

"Video itu memaparkan aksi dua lelaki. Seorang lelaki berusia 32 tahun sedang memandu Perodua Alza manakala seorang lagi lelaki berusia 26 tahun memandu Mazda CX-5.

"Mereka bertengkar sambil membuat rakaman video menggunakan telefon bimbit.

Rakaman video tular memaparkan seorang lelaki berang dan mengetuk cermin kereta dipandu seorang lelaki semasa mereka bertengkar di Kilometer 134 Lebuhraya Utara Selatan, di Muar pada Sabtu
Rakaman video tular memaparkan seorang lelaki berang dan mengetuk cermin kereta dipandu seorang lelaki semasa mereka bertengkar di Kilometer 134 Lebuhraya Utara Selatan, di Muar pada Sabtu

"Pihak polis akan membuat tangkapan ke atas kedua-dua lelaki yang terlibat bagi melengkapkan siasatan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, punca pertengkaran kedua-dua lelaki berkenaan apabila pemandu Perodua Alza membuat provokasi selepas tidak berpuas hati dengan pemandu berusia 26 tahun yang memotong kenderaannya dari kanan ke kiri.

Artikel Berkaitan:

"Akibat berasa berang, pemandu terbabit mengejar lelaki berusia 26 tahun tersebut dan kedua-duanya memberhentikan kenderaan di lebuh raya.

"Sebelum memberhentikan kenderaan, kedua-dua pemandu merakamkan aksi satu sama lain sewaktu memandu di lebuh raya tersebut," katanya.

Menurutnya, kedua-dua lelaki tersebut kemudian membuat laporan polis.

Tambah Raiz Mukhliz, kes disiasat bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Polis menasihati orang ramai supaya mengelakkan dari menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan sentiasa bersikap toleransi sesama pengguna jalan raya yang lain," katanya.

Pihak polis katanya, akan turut mengambil tindakan yang tegas terhadap mana-mana individu yang dikesan melakukan kesalahan di jalan raya mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

@sinarharianonline

Benda boleh bawa bincang, buat apa gaduh-gaduh #fyp #SinarHarian #VideoViral #Muar #Gaduh #Polis #Lebuhraya #Provokasi

Police Entry - Elizabeth Tan