Belum sempat pasarkan dah kena cekup...

Adzli (tengah) menunjukkan dadah bernilai anggaran RM367,000 dirampas.
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang lelaki warga Myanmar ditahan bersama dadah seberat anggaran 27 kilogram (kg) bernilai RM367,000 dalam sebuah bangsal di kawasan pedalaman Bedong pada 6.10 petang 14 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, lelaki terbabit dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah didalangi warga tempatan dengan gaji diupah RM2,000 sebulan.

Menurutnya, lelaki berusia 30 tahun yang bekerja sebagai buruh ladang sebelum ini dipercayai terpedaya dengan sindiket terbabit yang hanya menawarkan pekerjaan menjaga rumah berbentuk bangsal dijadikan stor simpanan dadah.

"Ketika pintu diketuk, lelaki pemegang kad UNHCR itu membuka pintu yang berkunci sebelum cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis dengan merempuh anggota sehingga berlaku pergelutan, namun berjaya ditahan.

Dadah bernilai anggaran RM367,000 dirampas.
Dadah bernilai anggaran RM367,000 dirampas.

"Kita percaya suspek diupah untuk menjadi penjaga dan tinggal di bangsal terbabit yang serba kekurangan dengan syarat tidak meninggalkan lokasi itu dengan makanan dihantar setiap hari kepadanya," katanya.

Hasil siasatan lanjut, lelaki terbabit mempunyai keluarga di negara asal dan berhijrah ke negara ini sejak 2015 bagi menyara dua anak.

"Gaji dibayar secara mingguan dan dia mengaku dibayar upah sebanyak RM500 setiap minggu.

"Kita percaya dia direkrut secara khusus sejak empat bulan lalu bagi menjalankan kegiatan terbabit dan dikehendaki membenarkan pengedaran dadah kepada pembeli hanya melalui arahan pihak atasan.

"Hasil serbuan kita menemui satu paket lutsinar dadah berisi serbuk syabu dan 60 paket plastik besar dadah dipercayai heroin dan dadah berkenaan dikesan sebagai penggunaan kepada 2,000 pembeli untuk pasaran sekitar Daerah Kuala Muda," katanya.

Hasil semakan mendapati suspek tiada rekod jenayah lampau dan saringan air kencing mendapati dia bebas dari sebarang dadah berbahaya.

Suspek direman tujuh hari bermula 15 Februari 2019.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6(1)c Akta Imigresen 1959/63.