Sekolah ditutup dua hari jika terdapat satu kes positif Covid-19

Gambar hiasan. Gambar kecil: Dr Hang Soon
Gambar hiasan. Gambar kecil: Dr Hang Soon
A
A
A

SHAH ALAM - Sekolah yang disahkan mempunyai satu kes Covid-19 akan ditutup sekurang-kurangnya dua hari.

Memetik laporan Sin Chew Daily, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, pelajar yang terjejas ekoran penutupan tersebut akan beralih ke pembelajaran dalam talian sehingga kelas fizikal disambung semula.

"Keputusan yang berkuatkuasa bermula Rabu itu akan memberi kuasa kepada pihak sekolah untuk mengeluarkan notis memaklumkan ibu bapa mengenai penutupan sekolah apabila terdapat kes positif Covid-19," katanya pada Rabu.

Dr Hang Soon berkata, keputusan penutupan selama dua hari itu juga bertujuan mengelakkan berlakunya penularan kluster Covid-19 di sekolah.

"Ini akan membolehkan sekolah menjalani sanitasi secara menyeluruh sementara ibu bapa, pelajar dan guru dapat meluangkan masa untuk menenangkan diri dan mengelakkan kebimbangan atau ketakutan yang tidak wajar," ujarnya.

Dr Hang Soon menyatakan bahawa keputusan itu dibuat semasa mesyuarat menteri peringkat tinggi yang dipengerusikan oleh Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin pada Rabu.

Katanya, sejak pembelajaran fizikal di sekolah dilanjutkan awal bulan ini, kementeriannya melakukan pemantauan yang teliti terhadap situasi pandemik yang berlaku di sekolah.

Menurutnya, pejabatnya juga telah melakukan perbincangan bersama dengan Persatuan Guru Sekolah Cina Bersatu (Jiao Zong), Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu (Dong Zong), Majlis Bahasa Cina Malaysia, Kesatuan Ketua Sekolah Kebangsaan dan beberapa kumpulan ibu bapa bagi mendapatkan maklum balas dan cadangan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Dr Hang Soon memaklumkan bahawa selama penutupan dua hari itu, pegawai kesihatan daerah akan melakukan tinjauan risiko di sekolah yang terjejas bagi menentukan sama ada penutupan itu harus diperpanjang atau ditamatkan setelah dua hari.

"Pejabat kesihatan daerah juga akan menguruskan guru dan pelajar yang memerlukan ujian Covid-19 untuk melakukannya,” ujarnya.

Tambahnya, keputusan tersebut akan turut dinilai semula oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Sebarang kemas kini penutupan sekolah akan dimuktamadkan oleh MKN dan diumumkan kemudian," jelas beliau.