Polis terima 15 laporan penipuan pelaburan BIA

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis telah menerima sebanyak 15 laporan berkaitan penipuan pelaburan berasaskan minyak dan gas yang dikenali sebagai Brunei Investment Agency (BIA) pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, satu kertas siasatan telah dibuka bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

"Dalam kes ini, mangsa ditawarkan pelaburan melalui laman sosial Facebook. Selain itu satu kumpulan WhatsApp telah dicipta oleh ‘admin’ untuk menyampaikan informasi berkaitan pelaburan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mohamad Zainal berkata, terdapat dua pakej yang ditawarkan iaitu Segmen Jangka Pendek yang menjanjikan pulangan dalam tempoh seminggu sehingga 40 hari.

"Segmen Jangka Panjang pula menjanjikan pulangan dalam tempoh dua bulan sehingga empat bulan.

"Mangsa dijanjikan pulangan sebanyak 200 peratus dengan nilai pelaburan serendah RM120 dan tiada had maksimum ditetapkan," katanya.

Menurutnya, mangsa juga boleh mencipta sendiri kumpulan WhatsApp dan bertindak sebagai ‘upline’ untuk mencari ‘downline’ dengan dijanjikan komisen sebanyak 10% daripada modal yang telah dilaburkan.

"Kegiatan ini bermula sejak Oktober 2020 sehingga awal April dan hampir semua pelabur menerima sebahagian wang pelaburan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kegiatan penipuan pelaburan itu dikesan oleh mangsa pada Jumaat, apabila ‘admin’ kumpulan WhatsApp telah gagal dihubungi dan tidak memberi maklum balas.

"Jumlah pelaburan yang telah dibuat oleh mangsa-mangsa dianggarkan melebihi RM508,005. Kita masih mengesan suspek-suspek yang terlibat," katanya.

Justeru, Mohamad Zainal menasihatkan supaya orang ramai tidak terpedaya dengan mana-mana pelaburan yang ditawarkan melalui laman sosial.

"Orang ramai perlu membuat semakan sewajarnya berkenaan latar belakang syarikat yang mereka ingin berurusan bagi memastikan mereka tidak menjadi mangsa seterusnya.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan penipuan pelaburan itu boleh disalurkan ke Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerag Dang Wangi di talian 03-2600222 atau hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999," katanya.