Harga barang naik: Kerajaan perlu proaktif bukannya reaktif

Mohamad Hasan
Mohamad Hasan
A
A
A

SHAH ALAM - Adakah kenaikan harga barang bermakna bekalan makanan negara tidak mencukupi dan jika mencukupi, setakat berapa lama lagi kecukupan itu akan bertahan.

Demikian persoalan dibangkitkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan susulan kenaikan harga barang yang melanda negara lebih-lebih lagi ketika mendekati musim perayaan.

Menurut Mohamad, rakyat terhimpit kerana pemulihan sektor ekonomi terus perlahan, kadar pengangguran yang tinggi serta isu pengangguran semakin kritikal.

"Jadi bila berlaku kenaikan harga barangan asas, kehidupan begitu ramai rakyat Malaysia menjadi sangat sukar dan punca kenaikan harga selalunya disebabkan peningkatan permintaan melebihi penawaran.

"Inisiatif pemantauan dan penguatkuasaan harga makanan juga nampaknya tidak cukup efektif untuk mengatasi isu pembekal yang mengambil kesempatan menaikkan harga serta aktiviti monopoli.

"Yang lebih membimbangkan ialah kenapa Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) yang baharu diumumkan dan akan dikuatkuasakan bermula 21 April hanya melibatkan 12 barangan kritikal," katanya di laman Facebooknya pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau mempersoalkan kewajaran untuk membiarkan rakyat terus terhimpit sementara menunggu kerajaan menyenaraikan barangan lain dalam skim tersebut.

"Kenapa perlu menunggu ketibaan hari perayaan untuk berbuat demikian?

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan perlu berhenti dengan tindakan reaktif mereka. Tadbir urus yang proaktif sangat diperlukan untuk mengawal harga barangan asas supaya rakyat tidak terus terbeban dalam saat getir seperti sekarang," katanya.

Beliau berkata, dasar kecukupan dan keselamatan makanan bukan sekadar untuk memastikan kecukupan bekalan tetapi juga memastikan harga makanan selari dengan kuasa beli rakyat.

Menurutnya, kerajaan mesti segera menyemak semula inisiatif Program Food Bank Malaysia bermatlamat meringankan kos sara hidup rakyat khususnya golongan isi rumah B40 dan yang memerlukan.

"Strategi terbaru dan insentif berpatutan perlu digunakan untuk mendapatkan komitmen daripada lebih banyak penyumbang termasuk pengilang, syarikat korporat dan pasar raya.

"Rakyat Malaysia terus melalui saat yang sukar demi kelangsungan hidup. Kerajaan sehingga saat ini gagal memberikan solusi tuntas dan segera," katanya.