Harga barang keperluan terkawal

Kamalludin meninjau barangan harga terkawal di bawah SHMMP di sebuah pasar raya di Meru Raya, Ipoh.
Kamalludin meninjau barangan harga terkawal di bawah SHMMP di sebuah pasar raya di Meru Raya, Ipoh.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Harga barangan keperluan bagi sambutan Aidilfitri di negeri ini terkawal dan tiada kenaikan harga yang dilaporkan berlaku setakat ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KDPN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, tiada aduan yang diterima daripada pengguna berhubung pelanggaran harga di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Aidilfitri.

Lilis Salinda
Lilis Salinda

Jelasnya, pengguna kini mempunyai lebih banyak pilihan di bawah inisiatif Payung Rahmah apabila peruncit memperkenalkan pelbagai pakej menarik bagi sambutan Aidilfitri.

“Kita nampak peruncit dan pemain industri berminat dengan pelbagai inisiatif Payung Rahmah yang diperkenalkan sejak Disember tahun lalu.

"Malah peruncit didapati proaktif apabila menawarkan penjimatan harga terhadap 50 jenis barangan berbanding 30 jenis di bawah SHMMP bermula dari 15 hingga 30 April ini,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis Jualan Rahmah Daging Import sempena Aidilfitri di pasar raya Econsave Pontian di sini pada Khamis.

Sementara itu, di PULAU PINANG, KPDN tidak menerima sebarang aduan mengenai kenaikan harga barang kawalan sejak SHMMP dilaksanakan sejak 15 April lalu.

Jegan
Jegan

Pengarah KPDN Pulau Pinang, S Jegan berkata, sejak SHMMP dilaksanakan sehingga Rabu, pihaknya telah memeriksa 480 premis dan mendapati kesemua premis tersebut mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Menurutnya, tiada aduan atau laporan berhubung kenaikan harga barang kawalan malah ada peniaga yang menurunkan harga melebihi daripada yang ditetapkan.

“Pemeriksaan yang dijalankan setiap hari mendapati, memang benar ada pemilik pasar raya yang menurunkan harga lebih daripada kerajaan tetapkan. Ini satu perkembangan yang baik terutamanya menjelang hari raya ini.

“Bagaimanapun, penurunan harga ini didapati dilakukan di pasar raya manakala di peringkat peruncit, mereka masih mengenakan harga seperti yang ditetapkan kerajaan,” katanya.

Di PERAK, KPDN negeri tidak menerima sebarang aduan rasmi terhadap kenaikan harga barangan atau harga yang tidak munasabah di seluruh negeri.

Kamalludin (kanan) beramah mesra dengan pengguna ketika meninjau harga maksimum di sebuah pasar raya di Meru Raya, Ipoh.
Kamalludin (kanan) beramah mesra dengan pengguna ketika meninjau harga maksimum di sebuah pasar raya di Meru Raya, Ipoh.

Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, pemantauan yang dijalankan oleh 175 penguat kuasa bersama 70 pegawai pemantau harga di 539 premis mendapati semua peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Hasil pemeriksaan dan pemantauan yang dijalankan pegawai penguat kuasa, harga barangan masih mengikut peraturan malah bekalan barangan keperluan masih mencukupi dan mudah diperolehi di seluruh negeri.

“Peniaga juga boleh dikenakan tindakan sekiranya ada yang mengambil kesempatan meletakkan harga tidak munasabah terutama di musim perayaan ini,” katanya ketika meninjau harga barangan kawalan di sebuah pasar raya di Meru Raya di sini pada Khamis.

Kamalludin berkata, seorang peniaga di Teluk Intan dikenakan kompaun RM300 kerana gagal mematuhi peraturan SHMMP pada Rabu.

“Pasar raya terbabit didapati tidak menggunakan label tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya.

“Saya ingatkan peniaga patuhi peraturan bukan sahaja meletakkan tanda harga barangan malah tidak menjual melebihi harga maksimum ditetapkan dan menggunakan alat timbang sukat yang disahkan,” katanya.

Sementara itu, di KELANTAN, keadaan harga barangan keperluan pada musim perayaan Aidilftri tahun ini terkawal dengan beberapa pasar raya utama di sini menawarkan jualan barangan itu secara pakej Rahmah.

Azman
Azman

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, pakej ditawarkan merangkumi senarai barangan keperluan sehingga 14 jenis dengan potongan harga sehingga RM11.09.

“Contoh keseluruhan harga bagi 14 barangan keperluan termasuk gula, teh dan minuman perisa coklat berjumlah RM60.09 tetapi digenapkan menjadi RM50 sahaja.

“Tiga pasar raya yang tersebut ialah Hyper Market Pantai Timor Pengkalan Chepa, Mydin Tunjong dan Aeon,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Menurut Azman, peniaga-peniaga di Kelantan mematuhi harga jualan bagi 22 barangan keperluan di bawah SHMMP 2023.

“Barangan termasuk harga runcit setiap sekilogram bagi daging lembu tempatan (RM41), daging kerbau import (RM20), ikan kembung (RM16), ikan selayang (RM12) dan tongkol (RM14).

“Pengguna disarankan untuk membuat pilihan bijak dan memanfaatkan pakej-pakej Rahmah yang ditawarkan oleh peniaga,” katanya.

Di KEDAH, bekalan barangan keperluan asas sempena musim perayaan tidak menghadapi sebarang masalah setakat ini.

Affendi
Affendi

Pengarah KPDN Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, setakat Ahad, sebanyak 1,509 premis telah diperiksa oleh pegawai penguat kuasa KPDN negeri merangkumi pengilang, pemborong dan peruncit.

Katanya, hasil pemeriksaan terbabit, barang-barang keperluan masih mudah diperolehi dengan harga yang lebih murah dan terkawal.

"Sehingga kini KPDN Kedah juga belum menerima apa-apa aduan berkenaan kenaikan harga barangan musim perayaan,” katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.

Menurutnya, sekiranya terdapat aduan, siasatan akan dilakukan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Diharapkan semua pihak dapat mematuhi harga yang telah ditetapkan dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini," katanya.

Sementara itu, rata-rata peruncit di SELANGOR mematuhi SHMMP bagi 30 jenis barangan termasuk ayam dan telur yang berkuat kuasa 15 hingga 30 April ini.

Mohd Zawawi
Mohd Zawawi

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, dalam tempoh penguatkuasaan SHMMP itu, terdapat sekurang-kurangnya dua kes sahaja dilaporkan di negeri ini.

“Di Selangor ini rata-rata peniaga mematuhi skim kawalan harga dan hanya terdapat satu atau dua aduan sahaja peniaga mengambil kesempatan mengenakan harga tinggi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Ujar beliau, sebanyak 30 jenis barangan ditetapkan dalam SHMMP bagi membolehkan pengguna mendapatkan harga berpatutan.

“Penguatkuasaan di peringkat KPDN Selangor giat dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua peniaga mematuhi harga yang ditetapkan dan menggunakan label merah jambu bagi harga barangan kawalan,” tambahnya.

Dalam pada itu, di NEGERI SEMBILAN, peniaga-peniaga mematuhi kawalan harga di bawah SHMMP 2023.

Pengarah KPDN Negeri Sembilan Muhammad Zahir Mazlan berkata, ia berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan pihaknya dalam tempoh enam hari ini.

“KPDN Negeri Sembilan mendapati para peniaga mematuhi penentuan harga maksimum yang ditetapkan.

“Kami juga tidak menerima aduan berkaitan kenaikan harga barang dan juga tiada aduan berkaitan bekalan barangan. Semua harga barang keperluan adalah terkawal,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut meminta orang ramai menyalurkan maklumat atau aduan kepada pihak kementerian.

“Mereka boleh menyalurkan aduan antaranya WhatsApp ke 019-279 4317 atau 019-848 8000, Portal Aduan: e-aduan.kpdn.gov.my atau pusat panggilan,1800-886-800,” katanya.