Budak terperangkap dalam kereta

Anggota bomba berusaha mengeluarkan seorang kanak-kanak lelaki yang terperangkap hampir 20 minit dalam sebuah kenderaan berkunci.
Anggota bomba berusaha mengeluarkan seorang kanak-kanak lelaki yang terperangkap hampir 20 minit dalam sebuah kenderaan berkunci.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Anggota bomba menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki yang terperangkap hampir 20 minit di dalam sebuah kereta berkunci berhampiran sebuah stesen minyak di Kampung Bedrock, di sini pada Selasa.

Difahamkan kanak-kanak berusia setahun enam bulan itu bertindak menekan sendiri kunci pintu kereta jenis Perodua Kancil terbabit dari dalam ketika ibunya berada di luar.

Ketika kejadian sekitar jam 8 pagi itu, enjin kenderaan dalam keadaan hidup dan kanak-kanak itu sedang bermain sendirian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Malim, Mohd Zairul Fahmi Mohd Nazari berkata, panggilan kejadian itu diterima pihaknya pada jam 8.27 pagi.

Kanak-kanak lelaki berusia setahun enam bulan berjaya dikeluarkan dari sebuah kereta berkunci dalam keadaan selamat. - Foto JBPM Perak
Kanak-kanak lelaki berusia setahun enam bulan berjaya dikeluarkan dari sebuah kereta berkunci dalam keadaan selamat. - Foto JBPM Perak

Menurutnya, operasi mengeluarkan mangsa segera dijalankan dengan menggunakan peralatan khas untuk membuka pintu kereta.

"Anggota mengambil masa lebih kurang 10 minit sebelum kanak-kanak itu berjaya dikeluarkan dengan selamat.

"Kita dimaklumkan pintu kereta itu dikunci sendiri oleh kanak-kanak tersebut dari dalam dan dia terperangkap selama 20 minit di dalam kenderaan sebelum bomba dimaklumkan kejadian itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kanak-kanak itu kemudiannya diserahkan kepada ibunya dan operasi tamat pada jam 8.45 pagi.