Mohammad Shaharul terima tugas Ketua Polis Pahang

KUANTAN - Timbalan Pengarah Cawangan Khas II Bukit Aman, Datuk Mohammad Shaharul Md Osman dilantik sebagai Ketua Polis Pahang baharu menggantikan Datuk Seri Yahaya Othman yang bersara Jun lalu.
Jawatan itu sebelum ini dipangku Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob.
Majlis serah terima tugas disaksikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini pada Khamis.
Mohammad Shaharul tidak asing bagi Polis Kontinjen Pahang kerana beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Cawangan Khas Pahang bermula 2021 sebelum ditukarkan ke Bukit Aman pada Mac tahun lalu.
Terdahulu dalam ucapannya, Mohammad Shaharul menyifatkan pelantikan beliau itu satu penghormatan besar bersama tanggungjawab berat.
Katanya, amanah itu memerlukan komitmen, ketegasan serta kepimpinan yang kukuh dalam melaksanakan amanah.
"Sepanjang lebih tiga dekad berkhidmat dalam bidang risikan, pengalaman yang diperoleh di peringkat daerah, kontinjen dan Bukit Aman akan dimanfaatkan untuk memperkukuh pasukan polis Pahang.
"Saya memulakan kerjaya pada 1 Oktober 1994 dan telah menghabiskan lebih tiga dekad dalam bidang risikan.
"Saya berharap dapat berkongsi pengalaman bersama warga Polis Pahang dalam menghadapi cabaran keselamatan yang semakin kompleks," katanya.
Sementara itu, Mohd Khalid mengingatkan kira-kira 6,300 pegawai dan anggota Polis Pahang supaya terus mengutamakan perpaduan serta kerjasama berpasukan bagi memastikan keberkesanan pasukan berkenaan.
Menurutnya, kesepaduan antara pegawai dan anggota amat penting dalam memastikan setiap tanggungjawab yang diamanahkan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
"Sinergi antara pegawai dan anggota amat penting. Saya berharap semua warga Polis Pahang memberikan sokongan sepenuhnya bagi memastikan kejayaan kontinjen ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

