14 kluster baharu termasuk enam kluster pendidikan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Terdapat 14 kluster baharu Covid-19 dikenal pasti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Isnin termasuk enam kluster pendidikan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada enam kluster pendidikan, satu merupakan kluster sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Selain itu, empat kluster komuniti, tiga kluster tempat kerja dan satu kluster keagamaan turut dikesan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, kluster pendidikan membabitkan Tangok dan Pulau Chondong (Kelantan), Jalan Tagasan (Sabah), Jalan Medan Aliff (Johor) dan Jalan Weng (Kedah).

"Kluster sekolah KPM pula ialah Jalan Hospital (Kelantan) membabitkan sebuah sekolah di Kampung Kubang Terap, Pasir Mas selepas 50 kes positif dilaporkan sejak 13 April lalu," katanya.

Beliau berkata, empat kluster komuniti ialah Sungai Duan, Sungai Passin dan Sungai Selitut (Sarawak) serta Jalan Bandar Universiti (Perak), " katanya.

Dr Noor Hisham berkata, kluster tempat kerja pula membabitkan Jalan Cahaya Baru dan Cyber Park (Johor) serta Jalan Sulah 16 (Selangor).

"Kluster keagamaan pula adalah Bayan Cenderawasih yang dikesan di Kedah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, jumlah keseluruhan kluster yang dikesan sejak pandemik melanda negara pada Mac tahun lalu ialah sebanyak 1,534 kluster.

"Terdapat sebanyak 1,194 kluster telah diisytiharkan tamat, manakala 340 kluster masih aktif," katanya.

Ujar beliau, sebanyak 63 kluster melaporkan pertambahan kes baharu.

"Kluster yang melaporkan kes baharu tertinggi ialah Kluster Sungai Duan (62 kes), Kluster Kampung Domis (55 kes) dan Kluster Jalan Sulah 16 (42 kes)," katanya.