PM perlu 'political will' tonjol kepimpinan mampan PDRM

Bastien Onn
Bastien Onn
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu menunjukkan kesungguhan politik dengan mengetengahkan kepimpinan mampan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memerangi segala bentuk jenayah berimpak besar yang mencalarkan imej negara sejak kebelakangan ini.

Exco Pemuda UMNO, Bastien Onn berkata, PDRM juga harus diperkasa daripada aspek kepimpinan tertinggi agensi keselamatan itu serta aset peralatan secukupnya bagi menumpaskan penjenayah-penjenayah yang berskala 'jerung' di negara ini.

Jelas beliau, keseriusan kerajaan dalam membendung masalah jenayah jelas menjadi tanda-tanya rakyat susulan laporan terdapat campur tangan menteri-menteri tertentu dalam urusan PDRM.

"Perdana Menteri harus mengambil perhatian besar dalam soal ini kerana ia melibatkan kepentingan rakyat. Mereka sedang mengikuti rapat perkembangan pencapaian PDRM dalam memerangi jenayah dan mahukan diri mereka berasa selamat tinggal di Malaysia.

"Terlalu banyak pendedahan dan tangkapan dibuat oleh PDRM sejak kebelakangan ini yang kita pun tidak tahu kewujudan bentuk jenayah berkenaan.

"Hal ini memberi impak positif kepada masyarakat yang sudah lama mahu melihat aktiviti-aktiviti jenayah seperti ini dibendung dan dikekang. Justeru, perlu ada 'political will' daripada pihak kerajaan dan pemilihan kepimpinan PDRM berkualiti bagi meneruskannya," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan terdapat campur tangan menteri dalam urusan pertukaran pegawai kanan polis di dalam PDRM sebelum ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Pertukaran jawatan: KPN akan bertemu Menteri KDN

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Ketua Polis Negara,Tan Sri Abdul Hamid Bador mengesahkan penangguhan pertukaran jawatan membabitkan 71 orang, termasuk ketua polis negeri oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Kepimpinan mampan PDRM diterajui Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador perlu terus diperkasa demi memastikan usaha memerangi jenayah dapat dimaksimumkan. - Gambar hiasan
Kepimpinan mampan PDRM diterajui Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador perlu terus diperkasa demi memastikan usaha memerangi jenayah dapat dimaksimumkan. - Gambar hiasan

Hamzah bagaimanapun menolak dakwaan campur tangan terhadap perkara itu dan menegaskan keputusan penangguhan pertukaran membabitkan pegawai kanan polis dibuat berdasarkan suara majoriti dalam mesyuarat Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).

Mutakhir ini, PDRM berjaya membongkarkan pelbagai kes jenayah berimpak besar melibatkan banyak kartel atau sindiket yang menjalankan aktiviti jenayah bernilai bilion ringgit.

Antaranya keberkesanan Ops Benteng yang melumpuhkan aktiviti penyeludupan manusia dan migran.

Selain itu, pembongkaran aktiviti penyeludupan dadah berpengkalan di Pulau Pinang, sindiket Macau Scam, Geng Nicky dan majikan yang memukul dua pengawal peribadinya, berkemungkinan membawa kepada pembongkaran kes judi dalam talian dan peminjam wang haram.

Jelas Bastien, rakyat sudah terlalu lama mendambakan tindakan-tindakan dan pembongkaran sebegini oleh PDRM dengan mereka meletakkan harapan tinggi kepada agensi keselamatan itu untuk melindungi rakyat dan bukannya membenarkan penjenayah-penjenayah ini terlepas.

"Rakyat mahukan tindakan diambil kepada penjenayah-penjenayah ini. Rakyat harus dilindungi daripada ancaman-ancaman jenayah seperti ini. Berapa ramai lagi yang perlu menjadi mangsa," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Maaflah kalau ada orang cakap saya campur urusan, kata Hamzah