Konflik Rusia-Ukraine semakin panas

Rusia didakwa menambah kekuatan ketenteraan di kawasan bersempadan Ukraine. - Foto: Agensi
Rusia didakwa menambah kekuatan ketenteraan di kawasan bersempadan Ukraine. - Foto: Agensi
A
A
A

SAINT PETERSBURG - Konflik antara Rusia dan Ukraine semakin memuncak apabila Moscow pada Sabtu menyatakan ia akan mengusir diplomat Kiev yang turut mencetuskan tindak balas sama oleh negara bekas Kesatuan Soviet tersebut.

Kementerian Luar berkata, ia telah memanggil Vasyl Pokotylo dan memaklumkan beliau diberi tempoh selama 72 jam untuk meninggalkan negara itu bermula Isnin.

Langkah tegas itu dibuat sehari selepas Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Rusia (FSB) menahan Konsul di Konsulat Jeneral bandar Saint Petersburg, Alexander Sosonyuk selepas beliau didakwa mengadakan pertemuan rahsia dengan seorang warga tempatan untuk mendapatkan maklumat sulit.

"Perbuatan beliau tidak sesuai dengan status diplomatik yang dipegangnya dan jelas memusuhi Persekutuan Rusia. Tindakan akan diambil terhadap diplomat asing yang didapati melakukan perbuatan seperti itu mengikut undang-undang antarabangsa," tegas FSB dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Kementerian Luar Ukraine dalam satu kenyataan balas menyelar tindakan Rusia yang disifatkan sebagai 'tidak sah' malah ia turut menolak tuduhan dilemparkan Moscow.

Jurucakapnya, Oleg Nikolenko menegaskan Rusia telah melanggar konvensyen diplomatik secara terang-terang dan cuba meningkatkan lagi ketegangan antara kedua-dua negara selepas Moscow menambah kekuatan ketenteraan di kawasan bersempadan Ukraine.

"Sebagai respons terhadap provokasi Moscow, diplomat kanan di Kedutaan Rusia di Kiev perlu meninggalkan negara ini dalam tempoh 72 jam bermula Isnin," ujarnya tanpa memberikan butiran lanjut.

Penahanan Sosonyuk itu bagaimanapun mencetuskan kebimbangan konflik yang mencetuskan kecaman global pada 2014 mungkin akan berulang ketika Moscow menguasai Semenanjung Crimea dan menyokong kumpulan pemisah di wilayah timur Ukraine. - AFP

Artikel Berkaitan: