Debut Hojlund di Old Trafford pada Sabtu

Hojlund turun menjalani latihan menjelang aksi United menentang Nottingham Forest pada Sabtu. - Foto Agensi
Hojlund turun menjalani latihan menjelang aksi United menentang Nottingham Forest pada Sabtu. - Foto Agensi
A
A
A

PENYERANG muda, Rasmus Hojlund mungkin menjadi taruhan Manchester United untuk merobek gawang Nottingham Forest dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di laman sendiri pada Sabtu.

Setelah mengharungi dua aksi, jentera serangan The Red Devils masih belum cukup berbisa apabila sekadar merekodkan satu gol menerusi bek tengah, Raphael Varane.

Pemain berusia 20 tahun itu ketika ini menjadi tumpuan utama dan bersedia untuk memulakan latihan bersama rakan sepasukannya.

Penyerang bernilai 72 juta pound (RM426.5 juta) itu sebelum ini mengalami kecederaan semasa sesi latihan pramusim bersama bekas kelabnya, Atalanta.

Situasi itu menyebabkan Hojlund tidak dapat beraksi dalam saingan awal ketika United menewaskan Wolverhampton Wanderers 1-0 sebelum tewas 0-2 kepada Tottenham Hotspur.

The Red Devils berharap pemain sensasi itu cergas sepenuhnya untuk disenaraikan sekurang-kurangnya berada di bangku simpanan bagi aksi hujung minggu ini.

Harapan tinggi diletakkan ke atas Hojlund yang disifatkan oleh pengurus, Erik ten Hag sebagai 'penyerang unik' selepas cemerlang di Serie A.

Ketika tiba di Old Trafford Hojlund meluahkan rasa teruja dapat menyertai keluarga besar United yang menjadi impiannya sejak kanak-kanak.

Artikel Berkaitan:

“Saya mempunyai impian untuk masuk ke Old Trafford sebagai pemain Manchester United.

“Saya sangat teruja dengan peluang mengubah impian itu menjadi kenyataan, dan saya berazam untuk membalas kepercayaan yang berikan kelab kepada saya,” ujar Hojlund.