Ketua PBB 'amat' kesal diplomasi 'disia-siakan' selepas serangan AS, Israel ke atas Iran

Antonio Guterres - Foto AFP
Antonio Guterres - Foto AFP
A
A
A

HAMILTON (Kanada) - Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menzahirkan rasa amat kesal pada Sabtu berikutan kegagalan diplomasi susulan serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran, lapor Anadolu Ajansi.

"Undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa mesti sentiasa dihormati," kata Guterres pada mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan, sambil menegaskan bahawa "kita sedang menyaksikan ancaman serius terhadap keamanan dan keselamatan antarabangsa."

"Tindakan ketenteraan membawa risiko mencetuskan rantaian peristiwa yang tidak dapat dikawal oleh sesiapa pun di rantau yang paling bergolak di dunia," katanya.

Sambil menegaskan bahawa "tiada alternatif yang munasabah selain penyelesaian pertikaian antarabangsa secara aman," Guterres menyatakan bahawa "dialog dan rundingan yang jujur" adalah satu-satunya jalan untuk keamanan yang berpanjangan.

Memetik pusingan terbaharu rundingan nuklear AS-Iran yang berakhir pada Khamis di Geneva, Guterres berkata, "Saya amat kesal kerana peluang diplomasi ini telah disia-siakan."

Susulan rundingan terbaharu itu, kedua-dua pihak menyifatkan suasana sebagai serius dan membina di bawah pengantaraan Oman.

"Alternatifnya adalah potensi konflik yang lebih luas dengan kesan buruk terhadap orang awam dan kestabilan serantau," katanya, sambil menggesa semua pihak untuk "kembali segera ke meja rundingan, terutamanya mengenai program nuklear Iran." - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres menzahirkan rasa kesal terhadap kegagalan diplomasi AS dan Israel terhadap Iran
  • Undang-undang antarabangsa dan kemanusiaan mesti dihormati
  • Guterres menekankan bahawa penyelesaian konflik secara aman melalui dialog dan rundingan adalah penting
  • Kegagalan pusingan rundingan nuklear AS-Iran di Geneva disifatkan sebagai peluang diplomasi yang disia-siakan
  • Guterres menggesa semua pihak kembali ke meja rundingan untuk mengelakkan konflik lebih luas

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!