X

Kindly register in order to view this article
!

PKPD di Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah, Kelantan bermula esok

Gambar hiasan
A
A

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah, Kelantan bermula esok sehingga 2 Mei depan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD berkenaan bagi memudahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua yang terlibat dan seterusnya mengekang penularan jangkitan Covid-19 ke komuniti luar.

“KKM hari ini melaporkan peningkatan kes Covid-19 secara mendadak di Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah, Kelantan.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 396 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 43 kes positif Covid-19 telah direkodkan,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di Kampung Belaoh, Kampung PPRT Belaoh Baru, Kampung Keruak, Kampung Pak Sik, Felcra Keruak, Hulu Besut, Besut, Terengganu bermula Rabu depan sehingga 27 April.

“Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKPD di Kampung Belaoh, Kampung PPRT Belaoh Baru, Kampung Keruak, Kampung Pak Sik, Felcra Keruak, Hulu Besut, Besut, Terengganu yang dijadualkan tamat pada 20 April.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 2,038 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 103 kes positif Covid-19 telah direkodkan.

“KKM melaporkan masih terdapat penularan berterusan dalam kalangan penduduk di kawasan PKPD dan terdapat sebanyak 309 baki sampel saringan yang sedang menunggu keputusan,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, pada Sabtu, seramai 158 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP).

Beliau berkata, daripada jumlah berkenaan, seramai 131 individu dikenakan kompaun manakala 27 lagi direman.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!