110 pengunjung pusat hiburan dikompaun kerana tak patuh SOP

Antara individu yang dikompaun dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Sri Petaling Brickfields pada Sabtu.
Antara individu yang dikompaun dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Sri Petaling Brickfields pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Seramai 110 individu dikompaun dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Sri Petaling Brickfields di sini pada Sabtu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff berkata, serbuan pada jam 11.10 malam itu susulan maklumat orang awam yang mendakwa pusat hiburan itu beroperasi tanpa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menurutnya, semasa serbuan pengunjung yang berada di dalam premis itu sedang leka mendengar muzik yang kuat sehinggakan ada yang menari dan tidak mengamalkan penjarakan sosial.

"Pemeriksaan lanjut mendapati seramai 121 orang termasuk pekerja berada di premis berkenaan.

"Kita turut mengeluarkan kompaun terhadap penjaga premis, manakala tiga individu warga asing ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Akta Imigresen.

"Beberapa peralatan premis telah dirampas dalam serbuan itu," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Saiful Annuar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 4 Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Seksyen 25(a) dan Seksyen 25(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 dan Peraturan 11 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No.4) 2021.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah, boleh menghubungi Bilik Gerakan Khas 24 Jam Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0670 dan Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999," katanya.

Artikel Berkaitan: