Dua maut tragedi pulang tarawih

Anggota polis di lokasi kejadian selepas menerima maklumat berhubung kemalangan membabitkan dua motosikal di Kampung Kukang, Jalan Perol, Kota Bharu pada Sabtu.
Anggota polis di lokasi kejadian selepas menerima maklumat berhubung kemalangan membabitkan dua motosikal di Kampung Kukang, Jalan Perol, Kota Bharu pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang bapa yang baru selesai solat tarawih maut, manakala anaknya parah apabila motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah motosikal lain di Kampung Kukang, Jalan Perol di sini pada Sabtu.

Kemalangan itu turut menyebabkan seorang lagi penunggang motosikal maut di tempat kejadian.

Dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, Mohamad Yusoff, 70, dan anaknya, Muhammad Soleh Mohamad, 17, dalam perjalanan pulang selepas menunaikan solat tarawih di surau berhampiran dengan menaiki motosikal jenis Honda C100 dari arah Peringat ke Perol.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, Mohamad dipercayai cuba membelok ke kanan untuk masuk ke lorong tali air menuju ke arah rumah dan tidak menyedari sebuah motosikal Yamaha Y15ZR ditunggangi lelaki warga Thailand yang dikenali sebagai Farahan Cheteh, 17, dari arah bertentangan.

Kemalangan membabitkan dua motosikal di Kampung Kukang, Jalan Perol, Kota Bharu pada Sabtu.
Kemalangan membabitkan dua motosikal di Kampung Kukang, Jalan Perol, Kota Bharu pada Sabtu.

“Akibat itu, berlaku pelanggaran secara berhadapan menyebabkan ketiga-tiga mereka terjatuh dari motosikal dan tidak sedarkan diri.

“Kedua-dua penunggang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala, manakala seorang pembonceng cedera parah di muka,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke unit forensik Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, sementara Muhammad Soleh pula dirawat di Zon Merah Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ II).

Artikel Berkaitan:

“Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.