X

Kindly register in order to view this article
!

Usaha transformasi Tajikistan

A
A

TAJIKISTAN merupakan salah sebuah negara Asia Tengah yang dahulunya di bawah pemerintahan Kesatuan Soviet (USSR). Tajikistan telah mencapai kemerdekaan pada 9 September 1991. Sejurus mencapai kemerdekaan, Tajikistan dilanda kemelut politik sehingga menyebabkan perang saudara selama lima tahun (1992-1997).

Sejak tamatnya perang saudara, kestabilan politiknya telah pulih dan bantuan asing disalurkan bagi membangun semula ekonomi serta infrastuktur Tajikistan. Sebilangan besar penduduk Tajikistan terdiri daripada etnik Tajik. Bahasa Tajik merupakan bahasa kebangsaan. Bahasa Rusia juga adalah bahasa pengantara etnik rasmi.

Hampir 98 peratus penduduknya beragama Islam walaupun dari segi perlembagaan, Tajikistan merupakan sebuah negara sekular seperti negara-negara Asia Tengah yang lain. Ibu kota Tajikistan ialah Dushanbe.

Kemerdekaan Tajikistan telah mendapat pengiktirafan masyarakat antarabangsa. Tajiskistan telah menganggotai beberapa organisasi antarabangsa.

Malaysia telah menjalinkan hubungan diplomatik dengan Tajikistan 30 tahun lalu pada 11 Mac 1992. Pada 2014, Presiden Tajikistan, Emomalii Rahmon bersama isterinya telah membuat kunjungan rasmi ke Malaysia atas undangan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Setelah dua dekad selepas tamatnya perang saudara, ekonomi Tajikistan bangun semula. Ekonominya berteraskan pertanian dan perkhidmatan. Tajikistan merupakan pengeluar komoditi kapas dan aluminium.

Kini, Dushanbe sedang mengalami transformasi daripada sebuah bandar beridentitikan Kesatuan Soviet kepada sebuah bandar raya moden. Bangunan lama yang didirikan ketika pemerintahan Kesatuan Soviet Union seperti Panggung Mayakovsky telah dirobohkan.

Tajikistan tidak mahu Dushanbe ketinggalan berbanding bandar raya utama lain di rantau Asia Tengah seperti Tashkent, Almaty dan Ashgabat.

Kerajaan Tajikistan juga ingin mengurangkan identiti komunis Kesatuan Soviet, sebaliknya menonjolkan identiti kebudayaan dan sejarah Tajik. Misalnya, istana lama Presiden yang suatu ketika dahulu menjadi ibu pejabat Parti Komunis Tajik dan pernah dilawati pemimpin-pemimpin komunis terkemuka telah dirobohkan dan diganti bangunan baharu dengan seni bina campuran moden dan Tajik Islam.

Patung ikon komunis Kesatuan Soviet, Vladmir Lenin suatu ketika dahulu mendapat kedudukan istimewa di pusat dataran Dushanbe kini telah diturunkan.

Sebaliknya, ikon-ikon daripada sejarah Tajikistan pra-penjajahan Rusia diberi keutamaan. Misalnya, kerajaan Tajikistan telah mendirikan tugu-tugu untuk memperingati kehebatan tokoh tempatan sama ada pemimpin politik mahupun cendekiawan Islam.

Kerajaan Tajikistan dalam usaha menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan dengan menukar nama sesetengah tempat yang dahulunya dalam bahasa Rusia ke bahasa Tajik.

Namun, usaha transformasi Tajikistan membina identiti tempatan telah mendapat bantahan segelintir penduduk Tajikistan yang masih nostalgia dengan legasi Kesatuan Soviet. Ada juga membantah kerana mahu mengekalkan bangunan lama berteraskan reka bentuk Rusia.

Bagaimanapun, kerajaan Tajikistan mempunyai pendirian berbeza. Mereka tidak mahu corak pembangunan Dushanbe berkiblatkan bandaraya Moscow atau Saint Petersburg tetapi mahu mencontohi bandar raya di China dan negara-negara Timur Tengah seperti Beijing, Urumqi, Riyadh dan Dubai.

Ia adalah sebahagian strategi Tajikistan untuk menarik pelabur-pelabur luar khasnya dari Timur Tengah dan China yang sedang mempromosi program Belt and Road Initiative (BRI). Ia juga boleh ditaksir sebagai langkah untuk mengurangkan kebergantungan kepada Rusia dan memperbagaikan sumber pelaburan asing.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!