Perak runding dengan UPEN isu tamat kontrak Rapid Kamunting

Mohd Zolkafly (kiri) mengangihkan bubur lambuk dan kurma kepada penduduk di sekitar tapak Pasar Malam Kampung Muhibbah, Sungai Siput pada Sabtu.
Mohd Zolkafly (kiri) mengangihkan bubur lambuk dan kurma kepada penduduk di sekitar tapak Pasar Malam Kampung Muhibbah, Sungai Siput pada Sabtu.
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Kerajaan Perak akan mengadakan rundingan bersama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) bagi mencari solusi terbaik meneruskan perkhidmatan Rapid Kamunting, susulan penamatan kontrak syarikat yang mengendalikan bas itu, Mei depan.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, dalam perbincangan bersama Syarikat Prasarana Malaysia Berhad (Prasana) dan Majlis Perbandaran Taiping (MPT) sebelum ini, terdapat ura-ura bahawa syarikat pengendali iaitu Rapid Bus tidak berhasrat menyambung semula kontrak perkhidmatan berkenaan.

Menurutnya, keadaan itu dikhuatiri memberi kesan terhadap ribuan pengguna perkhidmatan bas henti-henti terbabit yang kebanyakannya dalam kalangan pekerja kilang, pelajar sekolah dan penduduk taman perumahan.

"Kita akan bincang secepat yang mungkin dengan UPEN untuk kita cari jalan sama ada kita nak menyambung semula (kontrak) atau kita panggil satu konsesi bas lain untuk menyambung perkhidmatan di kawasan itu.

"Kita ambil perhatian serius mengenai perkara ini kerana ia adalah tanggungjawab bersama lebih-lebih lagi mereka yang terganggu sekiranya operasi ini tamat adalah kalangan rakyat yang mahu ke tempat kerja, menghantar anak ke sekolah dan sebagainya," katanya ketika ditemui pemberita pada program agihan bubur lambuk dan kurma di tapak Pasar Malam Kampung Muhibbah di sini pada Sabtu.

Program anjuran Gabungan Persatuan-Persatuan Sahabat Semalaysia dan Gabungan Syura India Muslim Perak (Permim) itu menyaksikan 400 bungkusan bubur lambuk dan 400 pek kurma diagihkan kepada penduduk setempat tanpa mengira agama dan bangsa.

Penduduk setempat yang melalui kawasan tapak Pasar Malam Kampung Muhibbah Sungai Siput pada Sabtu menerima agihan bubur lambuk dan kurma disampaikan Mohd Zolkafly.
Penduduk setempat yang melalui kawasan tapak Pasar Malam Kampung Muhibbah Sungai Siput pada Sabtu menerima agihan bubur lambuk dan kurma disampaikan Mohd Zolkafly.

Mohd Zolkafly berkata, setakat ini Prasarana belum menyatakan sebab-sebab munasabah mengenai hasrat tidak menyambung semula kontrak perkhidmatan terbabit.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri komited dan mengambil apa sahaja tindakan alternatif untuk meneruskan pengangkutan awam di situ untuk kemudahan rakyat, sama seperti daerah-daerah lain.

"Kita akan mencari jalan kalau mendapat permintaan tinggi daripada masyarakat setempat, jadi kita akan mencari kaedah dan jalan untuk kita meneruskan perkhidmatan bas henti-henti di kawasan itu," katanya.

Perkhidmatan Rapid Kamunting adalah bas Rapid pertama di Perak di bawah Prasarana dengan usaha sama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan MPT.

Ia telah dilancarkan sejak Mac 2016 dan pernah menarik hampir 25,000 pengguna.