X

Kindly register in order to view this article
!

Amaran buat peniaga naikkan harga barang: Exco

(Gambar hiasan) Peniaga diingatkan tidak menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya atau berdepan tindakan tegas termasuk dikenakan notis jika wujud sebarang elemen pencatutan. - Foto Bernama Gambar kecil: Dr. Chong Fat Full - Foto DUN Johor
A
A

JOHOR BAHRU - Peniaga di Johor diingatkan tidak menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya atau berdepan tindakan tegas termasuk dikenakan notis jika wujud sebarang elemen pencatutan.

Exco Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Dr Chong Fat Full berkata, pihaknya ada menerima aduan berkaitan kenaikan harga barangan iaitu ayam dan daging sejak akhir-akhir ini berikutan bulan Ramadan.

Susulan itu katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor menjalankan pemeriksaan ke atas semua jenis pasar seperti pasar basah, pasar awam, pasar tani dan pasar raya yang menjual ayam dan daging.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan bermula hari pertama Ramadan, sebanyak 26 notis di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 telah dikeluarkan melibatkan 20 peniaga runcit dan enam pemborong ayam di pasar-pasar awam sekitar Johor Bahru untuk siasatan lanjut dan mengesan sekiranya wujud sebarang elemen pencatutan.

“Berdasarkan rekod, dari 1 Januari sehingga 16 April, sebanyak 4,165 premis telah diperiksa meliputi 3,542 peruncit, 518 pemborong dan 105 pengilang oleh KPDNHEP Johor bagi seluruh daerah di negeri ini.

“Susulan daripada pemeriksaan ini, sebanyak 124 notis di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 telah dikeluarkan kepada peniaga bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, aduan mengenai kenaikan barangan dilaporkan berlaku sejak minggu pertama bulan April.

Kenaikan itu katanya, adalah berkadar langsung dengan kenaikan harga bahan mentah jagung mengikut harga komoditi dunia yang boleh disemak di Chicago Board of Trade (CBOT).

“Pemeriksaan yang dilakukan bertujuan memantau kenaikan harga barangan keperluan utama rakyat seperti ayam, daging, ikan, sayur-sayuran dan sebagainya di peringkat pembekalan barang secara berterusan mengikut rantaian pengedaran.

“Pemeriksaan akan dibuat dengan memeriksa maklumat harga dan kos barangan di peringkat pembekalan barangan yang terdiri daripada peruncit (pasar basah, pasar awam dan pasar raya) dan pembekal (pemborong, peladang, pengeluar, pengimport) agar tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya,” katanya.

Ujar Fat Full, kerajaan serius dalam menangani kos sara hidup rakyat dan pelbagai langkah dilakukan bagi memastikan harga barangan adalah berpatutan dan stabil.

Antara tindakan yang diambil ialah KPDNHEP Johor sentiasa menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan yang rapi sepanjang masa dalam memastikan kestabilan harga barang di pasaran.

“Mereka juga menguatkuasakan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 bagi mengawal pengambilan untung secara tidak munasabah oleh peniaga dan menguatkuasakan Perintah Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (penandaan harga bagi barangan dan caj bagi perkhidmatan) 2020 bagi mewajibkan peniaga meletak tanda harga ke atas barangan yang dijual.

“Anggota penguat kuasa KPDNHEP di negeri ini yang melibatkan seramai 200 orang akan sentiasa memantau dan melaksanakan pemeriksaan agar bekalan barangan keperluan harian adalah mencukupi bagi rakyat negeri Johor,” katanya.

-ends-


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!