Malaysia dalam senarai 10 pengeluar utama getah asli dunia

Malaysia menyumbang 4.3 peratus daripada 13.8 juta tan getah asli yang dihasilkan oleh negara pengeluar dunia.
Malaysia menyumbang 4.3 peratus daripada 13.8 juta tan getah asli yang dihasilkan oleh negara pengeluar dunia.
A
A
A

[INTERAKTIF] Getah asli merupakan satu daripada komoditi penting yang membantu menjana pendapatan negara di samping kelapa sawit, kayu kayan, koko, lada dan kenaf.

Selain digunakan secara domestik dalam industri sarung tangan, tayar dan tiub, benang getah dan lain-lain, getah asli dihasilkan negara juga dieksport keluar negara.

Perangkaan Getah Bulanan Malaysia yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada Khamis menunjukkan jumlah eksport getah asli negara meningkat sebanyak 13.5 peratus.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, eksport getah asli Malaysia pada Februari 2021 berjumlah 54,632 tan metrik berbanding 48,125 tan metrik pada Januari 2021.

“China terus kekal sebagai destinasi utama eksport getah asli menyumbang 40.5 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Februari 2021 diikuti Belgium (12.6 peratus), Jerman (8.4 peratus), Finland (3.9 peratus) dan Amerika Syarikat (2.7 peratus),” katanya.

Pada tahun lalu, Malaysia mencatatkan jumlah eksport getah asli sebanyak 45,827 tan metrik dengan China kekal sebagai destinasi utama eksport.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan maklumat Persatuan Negara-Negara Pengeluar Getah Asli (ANRPC), Malaysia berada dalam senarai 10 teratas pengeluar utama getah asli dunia.

Dianggarkan, sebanyak 1.1 juta tan getah asli dieksport ke luar negara pada setiap tahun.

Nilai eksport getah asli Malaysia itu dicatatkan bernilai RM23.7 bilion pada 2018.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengeluaran getah asli meningkat sembilan peratus

Antara negara yang menjadi destinasi eksportnya ialah Jerman, Finland, Amerika Syarikat, Itali, Iran, Taiwan, Brazil, Turki dan Mesir.

Buat masa ini, Malaysia menyumbang 4.3 peratus daripada 13.8 juta tan getah asli yang dihasilkan oleh negara pengeluar dunia.

Negara-negara tersebut terdiri daripada Thailand, Indonesia, Vietnam, China, India, Ivory Coast, Cambodia, Myanmar, Brazil, Sri Lanka, Filipina, Vietnam dan Bangladesh.

Industri getah asli Malaysia dipercayai bermula sekitar 1902 apabila penanaman secara komersial dilakukan di Melaka.

Usaha tersebut akhirnya berkembang ke beberapa buah negeri lain sehingga ia mampu menyumbang pendapatan eksport sebanyak 72.35 peratus pada 1951.

Susulan itu, skim Standard Getah Malaysia (SMR) telah diperkenalkan oleh Institut Penyelidikan Getah Malaysia (RRIM) pada 1965 bagi mengawal mutu, pengeluaran dan pemasaran getah negara.

Industri getah asli Malaysia mencapai kemuncaknya apabila seluas 2 juta hektar ladang dibuka pada 1979 dan sebanyak 1.6 juta tan getah asli dihasilkan pada 1988.

Kini, penanaman getah di Malaysia melibatkan kawasan seluas 1 juta hektar yang mana 79 peratus berada di Malaysia Barat manakala 29 peratus berada di Malaysia Timur.