Mengharap perubahan UMNO

No Image Caption
A
A
A

APAKAH terdesak sungguh UMNO ketika ini sehingga mahu mencadangkan Datuk Seri Najib Tun Razak kembali memimpin semula parti itu? Selepas Khamis lalu, ada segelintir pemimpin UMNO yang mahu Najib kembali mengetuai UMNO dan menaikkan semangat ahli parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Kenyataan itu sememangnya tidak mengejutkan, namun dari sudut pandang yang lain, ia jelas mengukuhkan lagi beberapa perkara yang dikaitkan dengan kepimpinan parti itu selama ini.

Pertama, UMNO nampaknya masih belum yakin dengan kepimpinan sedia ada. Kedua, cadangan itu seolah-olah menunjukkan UMNO masih belum mempunyai hala tuju, celaru dengan realiti politik semasa dan masih kental dengan budaya politiknya yang dikuasai elit.

Tidak dinafikan ketika ini Najib sangat popular. Beliau juga memiliki pengalaman dan banyak membuat jasa ketika menjadi Presiden UMNO serta Perdana Menteri. Namun, kewibawaan dan reputasi parti jauh lebih penting melebihi mana-mana individu. Kepimpinan sepatutnya bersama sepakat membina reputasi dan kewibawaan parti dengan membentuk hala tuju yang jelas, bukannya mencadangkan seseorang yang telah diberi peluang mengemudi parti hanya semata-mata beliau masih popular dan jasanya yang lampau.

Menarik Najib kembali ke dalam kepimpinan UMNO barangkali bukanlah perkara terbaik yang boleh dicadangkan UMNO ketika ini. Pada masa sama, memang kepimpinan sedia ada juga belum cukup meyakinkan. Sehingga kini kepimpinan UMNO masih belum mempunyai perancangan hala tuju yang jelas, komprehensif dan mampu diterima rakyat pelbagai kaum serta sesuai dengan suasana politik semasa.

Yang kelihatan, UMNO masih betah memaparkan mereka sebagai parti Melayu dan Islam serta kurang berminat menyantuni aspek lain yang lebih memikat selera politik masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Sampai sekarang, UMNO masih segan untuk mengangkat isu seperti keadilan, kesaksamaan, budaya integriti dan reformasi institusi sebagai agenda parti. Barangkali perkara itu masih terlalu asing buat pemimpin UMNO disebabkan mereka sudah biasa dengan kerangka dan budaya politik lama.

Sebab itu, cabaran terbesar buat sesiapa pun yang mengemudi UMNO adalah mengikis persepsi umum yang negatif terhadap kepimpinan UMNO. Sama ada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atau ketika zaman Najib sendiri, inilah bebanan berteru-san membelenggu kepimpinan UMNO.

Artikel Berkaitan:

Maka, siapa pun yang menjadi presiden, selagi hal itu tidak ditangani, maka selagi itulah kepimpinan UMNO akan terus bermasalah. Cakaplah yang UMNO dahulu kalah sebab fitnah dan permainan persepsi. Namun, fakta bahawa masalah itu timbul daripada sikap dan budaya kepimpinan UMNO sendiri adalah kebenaran tidak tertepis lagi.

Budaya business as usual dalam kepimpinan UMNO harus segera dihentikan. UMNO sepatutnya boleh membaca pemikiran masyarakat Malaysia dalam konteks kelas lebih luas dan terbuka, bukannya dari perspektif kaum yang selektif. Dan perkara tersebut boleh menjadikan UMNO berubah dan melakukan pembaharuan menerusi strategi politik yang sederhana, tidak ekstrem tetapi holistik dan ampuh.

Dengan budaya politik kepartian tidak lagi menjadi pilihan dan selera generasi muda, sepatutnya UMNO mengangkat persoalan idea serta penyelesaian politik lebih segar melebihi soal perjuangan dan kepartian.

UMNO perlu tampil dengan sesuatu yang menarik, segar, jelas dan mudah difahami semua pihak tanpa mengambil kira UMNO sebagai sebuah parti untuk orang Melayu semata-mata. Cumanya, mahukah pemimpin UMNO melakukan hal tersebut? Kalau diambil kata-kata Profesor Wong Chin Huat dalam kolumnya di Sinar Harian Khamis lalu, beliau mengibaratkan reformasi (perubahan) dengan UMNO bagaikan mengajak harimau memakan sayur. Kalau begitu perumpamaannya, nampaknya mustahil untuk menyaksikan sebarang perubahan dan kebangkitan UMNO dalam masa terdekat.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)