Lagi nahas membabitkan ambulans bawa pesakit Covid-19

No Image Caption
A
A
A

ALOR SETAR - Sebuah ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) yang membawa pesakit Covid-19 terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori satu tan di KM52.6 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah Utara, berhampiran Plaza Tol Alor Setar Selatan dekat sini hari ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Kedah Dr Mohd Fikri Ujang berkata ambulans membawa tiga petugas KKM itu sedang dalam perjalanan dari Sungai Petani ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini untuk membawa seorang pesakit lelaki yang hendak dirujuk bagi rawatan Covid-19.

"Kesemua petugas KKM itu sedang dalam perjalanan menghantar pesakit berkenaan ke hospital pada 5 petang. Petugas KKM dan pesakit yang berada dalam ambulans berkenaan selamat dan telah dibawa ke HSB untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu pada 4.20 petang.

Katanya, anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja tiba di lokasi 13 minit kemudian mendapati sebuah ambulans KKM telah terlibat dalam kemalangan dengan lori satu tan yang dinaiki dua lelaki.

"Pesakit Covid-19 yang berada di dalam ambulans berkenaan telah diasingkan ke lokasi yang selamat oleh petugas KKM. Sementara itu, kelindan lori berumur 56 tahun mengalami kecederaan parah selepas tercampak keluar dari lori telah dibawa ke HSB bersama pemandu lori berumur 59 tahun yang mengalami kecederaan ringan," katanya.

Katanya, operasi menyelamat telah ditamatkan pada 5.31 petang.

ARTIKEL BERKAITAN: Ambulans bawa pesakit Covid-19 kemalangan di Alor Setar

Artikel Berkaitan:

Kejadian ini adalah yang kedua membabitkan ambulans KKM yang membawa pesakit Covid-19 di negeri ini selepas kejadian pertama berlaku di persimpangan lampu isyarat Jalan Langgar, berhampiran Plaza Tol Alor Setar Utara pada 9 April lepas. - Bernama