Ambulans bawa pesakit Covid-19 kemalangan di Alor Setar

Sebuah ambulans KKM yang membawa seorang pesakit Covid-19 terbalik selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat di Jalan Langgar, berdekatan Plaza Tol Alor Setar Utara di sini pada petang Jumaat.
Sebuah ambulans KKM yang membawa seorang pesakit Covid-19 terbalik selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat di Jalan Langgar, berdekatan Plaza Tol Alor Setar Utara di sini pada petang Jumaat.
A
A
A

ALOR SETAR - Sebuah ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang membawa seorang pesakit Covid-19 terbalik selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat di Jalan Langgar, berdekatan Plaza Tol Alor Setar Utara di sini pada petang Jumaat.

Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr Mohd Fikri Ujang berkata, ambulans itu yang turut dinaiki empat petugas KKM sedang dalam perjalanan membawa pesakit tersebut dari Baling ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini bagi rawatan Covid-19.

"Ambulans dinaiki seorang doktor dan seorang jururawat dan mereka tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala pemandu dan pembantu perubatan mengalami kecederaan ringan. Pesakit Covid-19 itu pula iaitu seorang wanita juga mengalami kecederaan ringan.

"Dua mangsa yang menaiki sebuah lagi kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu turut cedera ringan dan telah dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Jumaat.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu pada 5.55 petang.

"Anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar tiba di lokasi dua minit kemudian. Terdapat lima mangsa yang menaiki ambulans berkenaan.

"Terdapat dua mangsa di dalam kereta jenis Proton Exora. Mangsa lelaki berusia 40-an mengalami cedera ringan di dada dan mangsa wanita berusia 30-an cedera ringan di bahu," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: