Wanita mangsa sindiket Love Scam, rugi hampir RM2.8 juta

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gara-gara cinta, seorang wanita tempatan berusia 44 tahun kerugian hampir RM2.8 juta selepas dipercayai menjadi mangsa sindiket Love Scam.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Superintenden Mohd Mahidisham Ishak berkata, mangsa berkenalan dengan lelaki tersebut pada November 2020 melalui aplikasi Tinder.

"Suspek memperkenalkan diri sebagai seorang lelaki warga Amerika Syarikat dan bekas juruterbang di sebuah syarikat penerbangan luar negara.

"Sepanjang tempoh perkenalan selama lima bulan, mangsa kemudian meminta wanita itu membiayai kursus penerbangannya dengan memasukkan bayaran ke akaun sebuah syarikat tempatan," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, mangsa sebelum ini sudah memberi wang kepada suspek menerusi beberapa transaksi.

"Mangsa yang telah kehabisan wang simpanannya kemudian meminta bantuan kewangan daripada ahli keluarganya untuk diberikan kepada suspek.

"Mangsa mengalami kerugian sebanyak RM2,778,458 dan tersedar telah ditipu selepas dinasihati oleh keluarganya. Dia kemudian membuat laporan polis untuk siasatan lanjut," katanya.

Dalam pada itu, katanya pada tahun 2020 Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Polis Kuala Lumpur telah membuka sebanyak 72 kertas siasatan melibatkan Love Scam berbanding 42 kertas siasatan pada tahun 2019.

Artikel Berkaitan:

"Data menunjukkan kebanyakan mangsa membabitkan wanita berusia dalam lingkungan 30 hingga 60 tahun dan merupakan golongan berpendidikan serta bekerjaya," katanya.

Mohd Mahidisham turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan hubungan percintaan melalui media sosial.

"Jangan mudah terpedaya dengan kata-kata manis dan pujuk rayu orang yang tidak dikenali secara bersemuka dan memberi bantuan kewangan tanpa usul periksa," katanya.

Tambahnya, orang ramai boleh menyalurkan maklumat jika terdapat sebarang jenayah atau aktiviti yang mencurigakan dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau balai polis yang berdekatan.