Tiada CCTV di lokasi cermin kereta Safiq Rahim dipecah

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tiada kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian yang dilaporkan berlaku serangan terhadap pemain pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), Safiq Rahim pada malam Selasa.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, saksi kejadian masih dikesan bagi membantu siasatan kes terbabit.

"Kenderaan mangsa juga didapati tidak dipasang 'dashcam'. Begitu juga, pemeriksaan mendapati tiada CCTV di kawasan kejadian berlaku.

"Namun polis giat mengesan saksi dan setakat ini belum ada yang dipanggil," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, Raub berkata, polis kini sedang menyiasat motif serangan terhadap pemain JDT itu.

"Siasatan awal polis berdasarkan laporan Safiq mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 10.05 malam Selasa, berhampiran pusat latihan JDT di pusat bandar raya.

"Mangsa menyatakan cermin kereta yang dipandunya tiba-tiba dipecahkan dua individu tidak dikenali menggunakan tukul besi sebelum suspek menunjukkan senjata berkenaan kepadanya dan melarikan diri dengan motosikal.

"Mangsa tidak mengalami apa-apa kecederaan dengan kerosakan pada cermin bahagian belakang kereta yang dipecahkan suspek," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Raub turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden berkenaan.

Sebelum itu, cermin belakang kereta bekas ketua pasukan skuad kebangsaan, Safiq Rahim dilaporkan dipecah oleh individu tidak dikenali berhampiran pusat latihan Johor Darul Ta’zim (JDT), di Jalan Sri Gelam, malam Selasa.

Kejadian kira-kira jam 10.05 malam itu, dikongsikan oleh Safiq, 36, menerusi laman media sosial Instagram sebelum tular di media sosial.

Dalam muat naik itu, Safiq memaklumkan beliau membuat laporan polis selepas risau dengan keselamatan dirinya.

Insiden itu berlaku tiga hari selepas pemain sayap negara, Faisal Halim disimbah asid dan seorang lagi pemain, Akhyar Rashid pula disamun dan diserang, di kawasan kediamannya lebih kurang seminggu lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!