'Siasat iklan hari raya promosi judi'

Mohd Azmi Abdul Hamid
Mohd Azmi Abdul Hamid
A
A
A

ALOR SETAR - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa pihak berkuasa segera menyiasat iklan hari raya yang mempromosi sebuah skim judi kasino dalam talian yang tular di media sosial.

Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, berdasarkan iklan yang ditonjolkan, ia adalah judi kasino dan mempromosi judi untuk mencuba nasib bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Katanya, tindakan itu bukan sahaja mengeskploitasi orang ramai malah turut menghina agama Islam.

"Dalam semakan di internet skim judi itu dipaparkan beroperasi di Malaysia dan Singapura sebagai permainan kasino dalam talian.

"Kami mendapati ianya menyediakan perkhidmatan perjudian dalam talian yang boleh diakses melalui telefon pintar dalam bentuk ios ataupun android," katanya menerusi suatu kenyataan di sini pada Jumaat.

Menurutnya, daripada maklumat yang dibekalkan, pengguna telefon pintar sistem android tidak perlu risau kerana mereka boleh berjudi dan meletakkan taruhan dengan melayari laman web yang tersedia.

"Apa yang sangat dikesali ialah menggunakan iklan sambutan Hari Raya Aidilfitri. Iklan itu menarik orang ramai dalam kalangan masyarakat Islam berjudi untuk bergembira kerana boleh bertaruh nasib memenangi tawaran wang daripada permainan kasino dalam talian tersebut," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tular iklan Hari Raya Aidilfitri ajak berjudi

Artikel Berkaitan:

Mohd Azmi berkata, susulan itu pihaknya mendesak iklan itu diharamkan dan pihak berkuasa mengambil tindakan segera ke atas pihak berkenaan mengikut undang-undang yang ada.

"Kami membantah keras pihak yang mengeksploitasi perayaan agama terutama agama Islam untuk memancing orang ramai berjudi.

"Kerajaan juga tidak boleh berkompromi dalam hal ini walaupun ia mungkin diberi lesen. Malah, judi di negara ini sepatutnya dibanteras sepenuhnya," katanya.