Macsa gesa pindaan Akta 265

Lukman Sheriff
Lukman Sheriff
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA) menggesa agar satu pindaan menyeluruh dilakukan terhadap Akta Pekerjaan 1955 (Akta 265) bagi memastikan pekerja tidak didiskriminasikan atas dasar agama dan bangsa.

Pengerusinya, Lukman Sheriff Alias berkata, MACSA turut menuntut kerajaan menangani isu Islamofobia dengan segera dan membantu umat Islam di negara ini yang menderita akibat tekanan kerana kebencian serta prejudis sesetengah pihak terhadap agama Islam.

Beliau berkata, pihaknya amat memandang serius insiden Islamofobia di Malaysia yang semakin meningkat serta dalam pelbagai bentuk.

Menurutnya, sebagai ahli Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang menerima pakai Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia atau Universal Declaration of Human Rights (UDHR), Malaysia harus akur kepada peruntukan bahawa tiada diskriminasi.

"Secara khususnya, artikel 18 UDHR menyatakan bahawa setiap orang mempunyai kebebasan berfikir, kesedaran dan beragama.

"Di bawah Artikel 22 Deklarasi Hak Asasi ASEAN atau ASEAN Human Rights Declaration (AHRD), Malaysia juga harus komited menghapuskan sikap tanpa toleransi, diskriminasi dan hasutan berasaskan kebencian terhadap agama dan kepercayaan.

"Sebagai penandatangan Deklarasi Hak Asasi Islam Kaherah atau Cairo Declaration of Human Rights in Islam (CDHRI) pula, Malaysia harus akur kepada Artikel 10 yang melarang tindakan memaksa atau mengeksploitasi sesiapa untuk menukar agama seseorang," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata demikian mengulas insiden dua pengawal keselamatan yang didakwa ditampar, dipukul dan diacukan pistol oleh majikan bukan Islam kerana berpuasa pada bulan Ramadan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Lukman Sheriff berkata, MACSA memuji tindakan pantas Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menggerakkan siasatan segera sehingga tertangkapnya empat individu disyaki terlibat dalam insiden berkenaan.

"Siasatan haruslah dijalankan secara telus dan keputusan siasatan harus dihebahkan kepada awam dari masa ke semasa," kata beliau.

Dalam pada itu, beliau berkata, masyarakat di negara ini diseru agar menghormati kedudukan Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan yang mengangkat Islam sebagai agama Persekutuan, Artikel 11 menjamin hak kebebasan beragama dan Artikel 8 yang melarang diskriminasi berdasarkan agama.

"Natijah daripada kesefahaman yang wujud di negara ini memberi peluang kepada semua masyarakat berlainan agama beribadah mengikut agama masing-masing dengan aman dan harmoni," katanya.