Tikam ibu: Dua beradik sempat minta bantuan jiran

Laishimi menunjukkan lokasi dia melihat kejadian yang menimpa jirannya. (Gambar kecil: K Krishna)
Laishimi menunjukkan lokasi dia melihat kejadian yang menimpa jirannya. (Gambar kecil: K Krishna)
A
A
A

TAMBUN - 'Pakcik cucuk mak', jerit dua beradik lelaki berusia enam dan lapan tahun ketika mendapat bantuan daripada seorang jiran dalam kejadian bunuh di sebuah rumah di Taman Perpaduan di sini pada malam Rabu.

Dalam kejadian sekitar jam 8 malam itu, ibu mereka, K Krishna, 31, ditemui maut akibat ditikam seorang lelaki yang dipercayai teman lelakinya.

Laishimi, 42, berkata, dia terkejut apabila terdengar jeritan dua beradik yang tiba-tiba menyerbu masuk ke rumahnya sambil menangis.

"Dengar sahaja ibu mereka 'dicucuk', saya berlari pergi ke rumah sebelah dan ternampak seorang lelaki sedang tikam diri sendiri.

"Saya jerit jangan, berhenti... berhenti sebelum lelaki itu bertindak tutup pintu dan kunci dari dalam. Saya sempat lihat mangsa yang terbaring di lantai," katanya ketika ditemui di sini pada Khamis.

Menurutnya, dia terus menghubungi polis manakala dua beradik itu dihantar ke rumah pengasuh berhampiran.

"Saya tidak berapa kenal dengan mangsa kerana dia baharu setahun tinggal di sini.

"Saya juga tidak mengenali suspek, cuma pernah terlihat dia datang untuk ambil kereta," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali ketika ditemui berasa terkejut dengan kejadian itu dan mengakui tidak mengenali suspek.

"Mangsa seorang pendiam dan jarang menceritakan masalah kepada ibunya termasuk hubungan cinta.

"Cucu saudara ada cerita yang mangsa ada menyuruh mereka untuk keluar selamatkan diri. Saya lega mereka mendengar cakap dan bijak dengan meminta bantuan jiran. Tidak boleh bayang apa yang terjadi kalau mereka masih ada di rumah," katanya.

Katanya, ahli keluarga lain masih menunggu proses bedah siasat selesai sebelum menyempurnakan mayat.

"Kedua-dua beradik setakat ini nampak tidak terganggu dengan kejadian semalam (Rabu) tetapi tidak tahulah bagaimana selepas ini.

"Cuma keadaan ibu mangsa kini agak lemah kerana masih terkejut dengan kejadian itu tambahan mangsa merupakan anak tunggal," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak saksi pembunuhan ibu