Kerajaan sedia bawa masuk rawatan terkini kanser

Beliau ditemui selepas merasmikan Cabaran Denai Bukit Kledang dan Sambutan Hari Kanser Sedunia Peringkat Negeri Perak di kaki Bukit Kledang.
A
A

IPOH - Kerajaan bersedia membawa masuk teknologi dan kaedah terkini dalam rawatan kanser ke Malaysia.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, dari segi rawatan dalam kanser terdapat kaedah moden menggunakan teknologi canggih.

Katanya, boleh dikatakan hampir setiap hari terdapat cara baharu untuk rawatan kanser di seluruh dunia.

"Di peringkat kemudahan Kementerian Kesihatan, kita akan cuba sedaya upaya membawa masuk rawatan terkini dan canggih ke negara ini.

"Kita mempunyai dua hospital kanser yang khusus iaitu di Institut Kanser Negara, Putrajaya dan Hospital Sultan Ismail Permai, Johor Bahru," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Cabaran Denai Bukit Kledang dan Sambutan Hari Kanser Sedunia Peringkat Negeri Perak di kaki Bukit Kledang, di sini.

Dalam berkembangan sama, Boon Chye menjelaskan pada pembentangan Bajet 2019 lalu, kerajaan juga telah mengumumkan kewujudan satu pusat kanser di Sungai Petani, Kedah.

Katanya, selain itu terdapat juga kemudahan rawatan kanser di hospital-hospital besar negeri seperti di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Pulau Pinang, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas, Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru dan hospital-hospital negeri yang lain.

Sementara itu, Boon Chye berkata, kebanyakan pesakit kanser di Malaysia lewat menerima rawatan kanser berbanding negara maju berdasarkan keputusan rawatan.

Katanya, ramai pesakit di negara ini yang menerima rawatan ketika kanser mereka di peringkat akhir.

"Sebab itu, kesedaran untuk mengenalpasti simptom awal kanser perlu ditingkatkan dalam kalangan orang ramai.

"Kementerian Kesihatan menyediakan pelbagai kemudahan saringan lebih awal untuk mengesan kanser ini," katanya.