TFC 'buka langkah' bawa masuk Safawi

Safawi
Safawi
A
A
A

TERENGGANU FC (TFC) telah memulakan langkah untuk mendapatkan khidmat pemain sayap Harimau Malaya, Safawi Rasid pada jendela perpindahan kedua Julai depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh berkata, pihak pengurusan dan barisan kejurulatihan kelab itu sudah bersedia untuk ‘mengikat’ Safawi.

Menurutnya, jika perancangan tersebut berjalan lancar, Safawi akan dipinjamkan daripada Johor Darul Ta'zim (JDT) bagi memperkuatkan jentera tengah dan serangan TFC.

“Tetapi kami tidak mahu melanggar sebarang prosedur (perpindahan) dan menyerahkan kepada pihak pengurusan JDT untuk membuat keputusan.

“Memang kami begitu berminat untuk menggunakan khidmatnya (Safawi), lebih-lebih lagi kami akan beraksi dalam saingan Piala AFC musim ini.

“Kami sudah berusaha ke arah itu (mendapatkan Safawi) selepas dikhabarkan dia tidak begitu gembira dan selesa beraksi bersama kelab Ratchaburi FC.

“Jika tidak ada sebarang masalah, insya-ALLAH dia akan kembali beraksi dengan negeri kelahirannya (Terengganu) pada jendela perpindahan kedua nanti,” katanya ketika ditemui pemberita di Marang, Terengganu pada Isnin.

Sebelum ini, spekulasi bertiup kencang mengenai kepulangan Safawi ke tanah air dan TFC tidak mahu terlepas peluang untuk ‘menempah’ awal khidmat bekas pemain T-Team itu.

Pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner turut mengakui berminat mendapatkan khidmat Safawi yang dianggapnya mampu memantapkan lagi jentera serangan skuad Penyu.