X

Kindly register in order to view this article
!

Rapid KL mohon maaf gangguan perkhidmatan LRT akibat pokok tumbang

Pokok tumbang menimpa tren di Stesen LRT Chan Sow Lin pada Isnin.
A
A

KUALA LUMPUR - Rapid KL membuat permohonan maaf di atas gangguan perkhidmatan LRT Laluan Ampang/Sri Petaling petang Isnin susulan ribut yang melanda bandaraya hingga menyebabkan tidak kurang 13 pokok tumbang menimpa landasan tren.

Ia melibatkan trek sekitar Stesen Maluri, Pandan Jaya, Chan Sow Lin dan Cheras, yang terletak di atas tanah (at grid).

Rapid KL menerusi satu kenyataan pada Isnin berkata, gangguan perkhidmatan yang berlaku dalam keadaan hujan dan cuaca tidak menentu itu menyebabkan beberapa tren terkandas di atas trek bermula jam 6.39 petang.

"Ia sekali gus memerlukan kerja-kerja mengeluar dan menyelamatkan penumpang yang terpaksa dilakukan secara berhati-hati kerana keadaan tanah yang licin dan berlumpur di samping risiko panahan petir.

"Kerja-kerja mengeluar dan memindahkan penumpang mengambil masa yang lebih lama daripada biasa atas sebab-sebab keselamatan kerana risiko yang dibawa oleh angin ribut, hujan dan petir yang berlaku pada masa itu.

"Kerja-kerja mengeluarkan dan memindahkan penumpang selesai pada pukul 10.20 malam. Namun, kerja-kerja pembersihan trek dan pemeriksaan bagi memastikan trek adalah selamat akan berjalan sepanjang malam ini (Isnin), " menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, pasukan penyelamat syarikat itu dibantu oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi menguruskan kerja-kerja pemindahan tersebut.

"Rapid KL merakamkan ucapan terima kasih kepada agensi-agensi ini atas bantuan yang telah diberikan bagi menangani keadaan ini.

“Para penumpang yang terjejas oleh gangguan perkhidmatan ditawarkan kupon bayaran balik yang boleh dituntut di semua kaunter LRT Laluan Ampang/ Sri Petaling,” tambah kenyataan berkenaan.

Tambahnya, bagi mengurangkan impak gangguan berkenaan, Rapid KL telah menyediakan perkhidmatan bas perantara di samping meneruskan perjalanan tren menggunakan landasan yang tidak terjejas oleh kejadian ribut berkenaan.

Sementara itu Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Lumpur, Kapten (PA) Mazran Mohamed berkata, APM menerima kes pokok tumbang di atas tren di Stesen LRT Chan Sow Lin sekitar 8.38 malam (Isnin)

"Tren tersebut dalam perjalanan dari Stesen Chan Sow Lin ke Stesen Miharja dan dianggarkan seramai 700 penumpang telah dikeluarkan termasuk wanita mengandung.

"Susulan itu, pokok yang tumbang di atas tren telah diselesaikan oleh APM Kuala Lumpur dan kakitangan Rapid KL dan operasi selesai jam 10.48 malam," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!