X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan fokus jual minyak sawit ke Asia Timur, Timur Tengah

Jeck Seng (kanan) melihat debunga kelapa sawit negara merupakan antara yang terbaik di dunia di Stesen Penyelidikan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Kluang hari ini. - Foto Bernama
A
A

KLUANG - Kerajaan melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi akan memfokuskan jualan minyak sawit Malaysia ke negara-negara Asia Timur dan Timur Tengah berikutan permintaan yang tinggi terhadap komoditi itu dari rantau tersebut.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng berkata, antara negara yang menggandakan pembelian minyak sawit negara adalah Arab Saudi, Afghanistan dan beberapa negara di Asia Tenggara.

“Arab Saudi yang sebelum ini mengimport minyak sawit Malaysia sebanyak 300,000 tan setahun telah menambah pembelian kepada 500,000 tan manakala Afghanistan telah menambah sekali ganda pembelian mereka kepada 150,000 tan setahun,” katanya kepada pemberita pada Isnin.

Beliau berkata demikian semasa lawatannya di Stesen Penyelidikan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dekat sini.

Pada masa sama, Jeck Seng mengulangi kekesalan berikutan keputusan Sri Lanka baru-baru ini yang mengikut jejak beberapa negara Kesatuan Eropah (EU) yang tidak lagi mendapatkan minyak sawit Malaysia.

“Sepatutnya Sri Lanka perlu mendapatkan maklumat yang lebih tepat berkaitan minyak sawit kita. Saya tidak faham kerana keputusan dibuat dengan tergesa-gesa dan memberikan alasan yang sama dengan EU.

“Untuk makluman, kita mempunyai perundangan tersendiri dalam industri sawit, antaranya memperkenalkan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang mementingkan pertanian dan pengurusan yang baik, sekali gus menghasilkan produk yang berkualiti,” katanya.

Beliau berkata, negara telah membuat bantahan kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan kini sedang menunggu keputusannya selain giat mencari pasaran baharu.

Katanya, sebelum ini, Sri Lanka mengimport sebanyak 200,000 tan minyak sawit negara setiap tahun.

Sementara itu, katanya, pihaknya turut berbangga dengan MPOB yang mempunyai stesen penyelidikan dan koleksi germplasma sawit terbesar di dunia dengan keluasan 841 hektar dan 98 peratus tanahnya digunakan untuk tujuan penyelidikan. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!