Kadar zakat fitrah di Sabah ditetapkan RM7

Kadar zakat fitrah di Sabah tahun ini ditetapkan RM7 atas setiap orang yang bermastautin di negeri itu. - Foto 123RF
Kadar zakat fitrah di Sabah tahun ini ditetapkan RM7 atas setiap orang yang bermastautin di negeri itu. - Foto 123RF
A
A
A

KOTA KINABALU - Kadar zakat fitrah di Sabah tahun ini ditetapkan RM7 atas setiap orang yang bermastautin di negeri ini, kata Mufti Negeri Sabah, Datuk Bungsu Aziz Jaafar.

Beliau menerusi kenyataan pada Isnin menjelaskan, kadar itu ditetapkan bersamaan nilai segantang Baghdad atau 2.7 kilogram beras yang dimakan majoriti rakyat Sabah.

Pada tahun lalu, zakat fitrah di Sabah ditetapkan pada RM7.50 dan RM6 mengikut kemampuan pembayar serta ketua keluarga.

Sementara itu, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menerusi kenyataan berbeza pada Isnin memberitahu sebanyak RM11 juta zakat fitrah dijangka dapat dikutip oleh agensi itu tahun ini.

"MUIS telah melantik 39 Penyelaras Wakil Amil dan seramai 2,000 Wakil Amil untuk menyelaras dan memungut zakat fitrah sepanjang bulan Ramadan tahun ini.

"Semua mereka akan dibekalkan dengan kad kuasa bagi mengelak masyarakat Islam mengeluarkan fitrah kepada orang-orang yang tidak bertanggungjawab dan tidak mempunyai tauliah," menurut kenyataan itu.

MUIS memberitahu mereka yang dilantik terdiri daripada Pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, penjawat awam, imam kariah, ketua kampung, pemimpin masyarakat dan orang perseorangan yang memiliki sifat amanah serta berbudi pekerti mulia.

Kenyataan itu turut menjelaskan pada Ramadan tahun ini, MUIS telah memperuntukkan sebanyak RM10.4 juta untuk diagihkan dan daripada jumlah itu, RM9 juta akan diberikan kepada asnaf fakir, miskin serta mualaf.

Artikel Berkaitan:

"Sebanyak RM1.4 juta pula akan diagihkan kepada 2,000 Amil Fitrah sebagai upah amil kerana bertugas memungut dan mengagih-agihkan zakat fitrah sepanjang bulan Ramadan tahun ini," jelas kenyataan itu.

Kenyataan itu memberitahu MUIS juga mengutip lebih RM10.83 juta zakat fitrah dan lebih RM90.33 juta zakat harta tahun lalu.

Lebih RM17.86 juta dana zakat diagihkan antara Januari hingga Mac tahun ini menyaksikan asnaf fakir merupakan penerima terbanyak iaitu RM7.72 juta, fisabilillah (RM5.26 juta), amil (RM2.02 juta), riqab (RM1.79 juta), miskin (RM502,927.30), muallaf (RM438,091.72), gharimin (RM114,000) dan ibnu sabil (RM150). - Bernama