Azmin yakin rakaman audio tular sahih, minta polis segera siasat

Mohamed Azmin - Foto Bernama
Mohamed Azmin - Foto Bernama
A
A
A

GOMBAK - Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yakin bahawa rakaman audio didakwa mirip suara Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang tular baru-baru ini adalah sahih.

Mohamed Azmin yang juga merupakan bekas Setiausaha Sulit Anwar menyifatkannya sebagai satu pengkhianatan terbesar khususnya dilakukan oleh Anwar jika audio tersebut dibuktikan benar.

Menurutnya, pengkhianatan itu bukan sahaja kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetapi juga kepada komponen parti Pakatan Harapan (PH) kerana secara sulit menjalankan rundingan dan perbincangan dengan pihak lain.

"Saya sebagai pegawai telah berkhidmat dengan beliau (Anwar) sekian lama dan merupakan setiausaha sulit beliau yakin itu adalah rakaman sahih yang akan dibuktikan dalam penyiasatan itu," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gombak ditemui selepas menyampaikan sumbangan Ilya Ramadan pada Majlis Penyampaian Sumbangan Ilya Ramadan di Masjid Gombak Utara pada Ahad.

Beliau turut menggesa supaya siasatan segera dijalankan berhubung rakaman audio terbabit.

Mohamed Azmin yang juga merupakan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) berkata, siasatan itu juga membolehkan kedua-dua pemimpin parti politik berkenaan untuk membela diri.

Beliau juga berpandangan, keputusan siasatan itu dapat membuktikan kebenaran mengenai pelbagai spekulasi yang timbul kepada penyokong parti dua pemimpin terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Saya kira ia (siasatan dijalankan) memberikan ruang kepada mana-mana pihak untuk membela diri mereka. Kita berharap kedua-dua individu ini jujur sekurang-kurangnya kepada ahli parti masing-masing," katanya.

Pada Sabtu, Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Ahmad Zahid dilaporkan akan dipanggil polis bagi merakam keterangan berhubung isu rakaman audio perbualan telefon yang tular.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, polis membuka kertas siasatan berkaitan perkara itu dan lapan laporan polis diterima berhubung perkara berkenaan sehingga Sabtu.

Pada 7 April lalu, satu rakaman video dan audio didakwa mirip suara Ahmad Zahid dan Anwar didedahkan di media sosial.

Audio tersebut dipercayai bermula dengan ucapan Ahmad Zahid ketika bercakap pada Perhimpunan Agung UMNO yang menegaskan bahawa UMNO tidak akan menerima Anwar, DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).