Memang patut kena kad merah

Fadzrul Danel dilayangkan kad merah oleh pengadil Noor Azriel pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman Alor Setar pada Sabtu. - Foto BERNAMA
Fadzrul Danel dilayangkan kad merah oleh pengadil Noor Azriel pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman Alor Setar pada Sabtu. - Foto BERNAMA
A
A
A

BEKAS Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh menyifatkan tindakan pengadil melayangkan kad merah terhadap dua pemain Kedah Darul Aman (KDA) pada aksi Liga Super menentang Terengganu FC (TFC) pada Sabtu sebagai satu tindakan tepat.

Namun di sebalik insiden itu, Subkhiddin yang juga bekas pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) meluahkan kekecewaannya berikutan senario terbaharu melanda saingan Liga Malaysia (Liga-M) apabila berlaku lagi insiden pemain menyentuh pegawai perlawanan.

“Pengadil bertindak tepat apabila memerintah keluar pemain berkenaan. Cumanya seperti yang saya sering tekankan, mesej hukuman sebelum ini perlu jelas untuk mengelakkan daripada perbuatan seperti itu daripada berterusan pada masa depan.

“Kita ingin melihat contoh yang terbaik dari bola sepak supaya dapat diteladani dalam kalangan penyokong kelab tetapi situasi seperti ini sudah pasti ianya meninggalkan kesan yang kurang baik, mengelirukan dan menyedihkan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Dalam aksi di Stadium Darul Aman, Alor Setar itu, dua pemain KDA FC, Fadzrul Danel Mohd Nizam dan Rodney Celvin dilayangkan kad merah oleh pengadil, Noor Azriel Baharudin pada penghujung perlawanan.

Subkhiddin
Subkhiddin

Layangan kad merah yang diterima Fadzrul dan Rodney itu menyaksikan mereka bakal berdepan Jawatankuasa Tatatertib FAM yang memungkinkan mereka berdepan hukuman ‘tambahan’.

Namun, tindakan Fadzrul menyentuh Noor Azriel lebih mencuri tumpuan. Ia berikutan tindakannya itu hampir sama dengan apa yang dilakukan tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa ketika menyentuh pengadil sama dalam aksi menentang Perak FC di Stadium Perak bulan lalu.

Artikel Berkaitan:

“Kita seboleh mungkin ingin melihat bola sepak yang bersih yang sepatutnya menjadi contoh kepada semua lapisan masyarakat. Jadi saya sangat berharap insiden ini adalah yang terakhir dan menjadi penutup kepada isu yang sama.

“Semoga semua pihak sedar tanggungjawab mereka untuk menjadikan bola sepak sebagai sukan contoh daripada kebanyakan sukan yang ada di dunia.

“Adalah sangat tidak menggembirakan untuk melihat hukuman perlu dilaksanakan sama ada kepada pemain ataupun pegawai perlawanan kerana itu bukanlah tujuan untuk kita berkecimpung dalam dunia bola sepak ini. Semoga bola sepak kita akan lebih bersih,” ujar Subkhiddin.