[DIKEMASKINI] PKPD di empat kawasan di Sabah esok

Ismail Sabri - Foto Bernama
Ismail Sabri - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Empat kawasan di Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Sabtu sehingga 23 April ini bagi menyekat penularan Covid-19 serta membolehkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan ujian saringan secara bersasar ke atas semua penduduk.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kawasan terlibat ialah Kampung Gayang, Tuaran serta Institut Latihan Perindustrian (ILP), Taman Permata dan Taman Seri Labuk, ketiga-tiganya di daerah Sandakan.

Beliau berkata, pelaksanaan PKPD itu dilakukan setelah penilaian risiko dibuat bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta atas nasihat KKM yang mengesahkan berlaku penularan jangkitan virus itu di lokaliti tersebut dengan kadar kebolehjangkitan tinggi.

Ismail Sabri berkata, KKM melakukan 38 ujian saringan di Kampung Gayang dan daripada jumlah itu, secara kumulatifnya lima kes positif Covid-19 direkodkan sementara di ILP, 88 ujian saringan dilakukan dengan tujuh kes positif virus itu direkodkan.

“KKM juga melaksanakan sembilan ujian saringan di Taman Permata dan lima kes positif direkodkan manakala lima kes dilaporkan di Taman Seri Labuk hasil daripada enam ujian saringan," katanya dalam kenyataan mengenai PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) pada Jumaat.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, PKPD yang dilaksanakan di dua lokap tahanan pendatang tanpa izin iaitu di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Setia Tropika serta Jabatan Imigresen Bangunan Sultan Iskandar di Johor Bahru ditamatkan esok setelah mengambil kira penilaian risiko pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP.

Beliau berkata, sehingga kini, KKM telah melaksanakan 83 ujian saringan di lokap tahanan pendatang tanpa izin Kompleks KDN Setia Tropika dan daripada jumlah itu, secara kumulatifnya sebanyak 61 kes positif Covid-19 direkodkan.

"KKM juga mengesahkan tiada lagi kes baharu dilaporkan dengan kes terakhir direkodkan ialah pada 29 Mac lepas iaitu 59 kes. Pada masa sama, semua kes positif telah menerima rawatan manakala kontak rapat diasingkan dan dipantau," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengenai penamatan PKPD di lokap tahanan pendatang tanpa izin Jabatan Imigresen Bangunan Sultan Iskandar pula, Ismail Sabri berkata, keputusan itu dibuat setelah KKM mengesahkan tiada kes baharu dilaporkan selepas yang terakhir pada 28 Mac dengan 51 kes, manakala semua kes positif menerima rawatan serta kontak rapat diasingkan dan dipantau.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, seramai 94 individu ditahan kerana ingkar prosedur PKP semalam dengan 93 dikompaun manakala seorang lagi direman.

Bagi kawalan sempadan negara pula, beliau berkata 14 pendatang tanpa izin ditangkap menerusi Operasi Benteng pada Khamis selain tujuh kenderaan darat dirampas. - Bernama