Tindakan tegas jika ada polis palsukan tandatangan

Abd Rahim (kanan) menyiram pokok bonsai sebagai simbolik perasmian bangunan IPD Temerloh sambil diperhatikan Mohd Yusri (kiri) pada Jumaat.
Abd Rahim (kanan) menyiram pokok bonsai sebagai simbolik perasmian bangunan IPD Temerloh sambil diperhatikan Mohd Yusri (kiri) pada Jumaat.
A
A
A

TEMERLOH - Tindakan tegas menanti mana-mana anggota polis yang menyalahgunakan kuasa termasuk memalsukan tandatangan berikutan kes melibatkan borang kosong pelepasan rentas negeri yang tular.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar berkata, pihaknya akan mengambil tindakan terhadap mereka yang terbabit jika didapati melakukan kesalahan antaranya memalsukan tandatangan ketua balai.

"Ia adalah satu kesalahan dan kita akan membuka kertas siasatan jika didapati ada anggota yang terlibat," katanya pada pemberita di sini pada Jumaat.

Bangunan IPD Temerloh yang telah siap dibina pada 22 April 2013 dirasmikan pada Jumaat.
Bangunan IPD Temerloh yang telah siap dibina pada 22 April 2013 dirasmikan pada Jumaat.

Beliau ditemui selepas perasmian bangunan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh yang turut dihadiri Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan dan Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis siasat borang rentas negeri kosong sudah ditandatangani

Pada Rabu lalu, tular di laman sosial apabila seorang wanita memuat naik borang rentas negeri kosong yang telah ditandatangani dan dicop oleh Ketua Balai Polis Chukai.

Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai memahami situasi yang dihadapi negara buat masa ini berikutan Ramadan yang bakal menjelma beberapa hari lagi dan mematuhi arahan semasa.

Artikel Berkaitan:

"Kita faham masyarakat di negara ini khususnya orang Islam ingin berbuka puasa bersama keluarga pada hari pertama.

"Namun kita kena ikut arahan yang ditetapkan dan tidak merentas negeri untuk mengelakkan kluster rentas negeri," katanya.

Menurutnya, polis akan mempertingkatkan dan memperketatkan kawalan rentas negeri sempena Ramadan.

ARTIKEL BERKAITAN:PGA perketat kawalan sempadan supaya Geng Nicky tidak lolos

Sementara itu, mengulas isu penjenayah dalam buruan, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee, Abd Rahim berkata, pihaknya menerusi pasukan Polis Gerakan Am (PGA) sedang memperketatkan kawalan di sempadan.

"Gambar-gambarnya (Nicky) telah diedarkan dan Insya-ALLAH kalau dia cuba melalui sempadan, kita akan tangkap.

"Buat masa ini tiada maklumat dia ada lepasi sempadan melalui jalan-jalan tikus atau sebagainya," katanya.

Mengulas mengenai usahawan kosmetik, Muhammad Sajjat Kamaruz Zaman, 36, atau lebih dikenali Sajat yang dipercayai meloloskan diri bersembunyi di Thailand menggunakan lorong tikus, beliau berkata, ketika itu pihaknya masih belum diminta untuk mendapatkan bantuan menjejaki usahawan terbabit.

Katanya, setakat ini terdapat 600 hingga 700 jalan tikus dikenalpasti di negara ini, namun mengakui ia berubah setiap hari.

"Kalau kita buat sekatan di sini, ia akan dibuka di tempat lain, ia berubah setiap hari," katanya.