Sumbang mahram membimbangkan

Dari kiri Azlina, Prof Madya Dr Zaharah dan Dr Fatimah Az Zahra.
A
A

KOTA BHARU – Masalah sumbang mahram semakin membimbangkan di negara ini dan kebanyakan kes yang berlaku dilakukan ahli keluarga terdekat.

Ketua Wanita Ikram Kelantan, Prof Madya Dr Zaharah Sulaiman berkata, berdasarkan perangkaan polis, kes melibatkan kanak-kanak adalah 83 peratus daripada 1,353 sepanjang lima tahun sejak 2013.

Beliau berkata, pelaku tertinggi jenayah itu adalah bapa yang mewakili 25 peratus daripada keseluruhan kes diikuti bapa tiri, bapa saudara dan abang.

“Tunduk terhadap nafsu serakah menyebabkan pelaku tidak mengira sesiapa sahaja mangsanya termasuk anak cucu sendiri.

“Kita nak ubah persepsi keluarga bagaimana mereka lihat mangsa dan pemangsa. Keluarga tak berani nak buat laporan kerana fikirkan ketua keluarga yang menyara keluarga dan kerana malu.

“Jenayah ini boleh dicegah melalui pelbagai aspek termasuk pendidikan ancaman pornografi, kawalan penggunaan internet anak-anak dan menyebarkan peranan lelaki sebagai pelindung keluarga,” katanya ketika sidang media selepas Seminar

Haruan Makan Anak anjuran Ikram USM dan Jabatan Pembangunan Wanita di Dewan Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian hari ini.

Seminar itu dibarisi panel Timbalan Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Kota Bharu, Mohd Rozi Mohamed; aktivis sosial, Syed Azmi Al Habshi; dan Penasihat One Stop Crisis Centre Hospital Universiti Sains Malaysia, Prof Siti Hawa Ali.

Hadir sama ialah Pengarah program, Dr Fatimah Az Zahra Din Suhaimi dan seminar itu mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran kira-kira 200 orang peserta.

Seminar itu dikendalikan moderator iaitu Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita Kelantan, Azlina Mohd Embran.