Dua pasangan pengantin bersanding di Zoo Negara

Dua pasangan pengantin yang juga kakitangan Zoo Negara diraikan dalam program Walimatul Urus – Raikan Cinta yang berlangsung di Zoo Negara pada Khamis.
Dua pasangan pengantin yang juga kakitangan Zoo Negara diraikan dalam program Walimatul Urus – Raikan Cinta yang berlangsung di Zoo Negara pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua pasangan pengantin yang juga kakitangan Zoo Negara diraikan dalam program Walimatul Urus – Raikan Cinta yang berlangsung di Zoo Negara pada Khamis.

Acara berlangsung di Panggung Tunku Abdul Rahman itu meraikan pasangan, Mohd Hafizi Azahari dengan Mustaza Syirin Mustafa dan Mohamad Rafiq Syafiq Mohamad Salehudin dengan pasangannya Nursyahidah Ismail.

Pasangan berkenaan merasai pengalaman berarak menggunakan tram mengelilingi Zoo Negara, bersanding di pelamin selain diserikan dengan persembahan silat dan nyanyian akustik serta upacara memotong pulut kuning.

Pasangan tersebut turut disajikan dengan pelbagai juadah hidangan pengantin semasa upacara makan beradab di meja utama.

Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly@Rahmat Ahmat Lana berkata, majlis perkahwinan yang julung kali diadakan itu akan dijadikan produk pemasaran untuk mempromosikan pakej perkahwinan di Zoo Negara.

Menurutnya, langkah itu sebagai salah satu daripada alternatif menjana pendapatan dan bakal menjadi tarikan baharu di Zoo Negara pada masa akan datang.

“Memang kita ada rancangan adakan idea ini selepas Aidilfitri untuk tampung perbelanjaan dan menjana pendapatan sedia ada.

“Kalau kita boleh adakan majlis perkahwinan di Dewan Kancil, Zoo Negara, mungkin kita akan kaji prosedur operasi standard (SOP) serta bagaimana kemasukan tetamu tanpa melalui pintu sedia ada.

Artikel Berkaitan:

“Pada masa sama, semua tetamu yang hadir juga akan diberikan 50 peratus diskaun tiket kemasukan ke Zoo Negara pada hari berkenaan,” katanya yang hadir meraikan pasangan tersebut.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini telah menyebabkan pendapatan Zoo Negara terjejas susulan penutupan operasi sepanjang tempoh itu.

Mengulas berkenaan keadaan kewangan semasa, beliau berkata, pendapatan Zoo Negara mampu mencecah RM11 juta tahun ini hasil sumbangan dana, kempen haiwan angkat, program Jom Memancing @Zoo Negara serta kutipan penjualan tiket.

“Apabila Zoo Negara dibuka sejak lebih sebulan lalu, sambutan yang diterima menggalakkan malah lebih baik berbanding sebelum pelaksanaan PKP tahun lalu.

“Apa yang saya boleh katakan memang kewangan kita sekarang mencukupi menampung kos seperti gaji pekerja, perubatan dan makanan haiwan tetapi jika PKP dilanjutkan lagi dalam tempoh lima ke enam bulan mungkin kita terpaksa merayu lagi bantuan untuk kelangsungan,” katanya.