JAIS tahan lelaki, ibu kes lakukan ritual agama lain

SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan seorang lelaki beragama Islam disyaki bertindak melakukan ritual agama lain dan ibunya ditangkap di Kuala Lumpur tengah hari Selasa bagi membantu siasatan kes yang tular baru-baru ini.
Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, tangkapan terhadap kedua-dua individu itu berusia 21 tahun dan 52 itu dilaksanakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menerusi waran tangkap bersaling yang dikeluarkan Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam.
Menurutnya, kedua-dua individu itu kini disiasat JAIS mengikut Seksyen 4 dan Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
"Berdasarkan risikan JAIS selepas kes melibatkan kedua-dua individu ini tular, JAIS juga dijangka memanggil sekurang-kurangnya 14 individu lain bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau memberitahu, JAIS memandang serius perkara itu dan memastikan setiap tindakan diambil berdasarkan bidang kuasa, undang-undang serta fakta kes.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan.
"Orang ramai sebaliknya diminta memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk melengkapkan siasatan," tambah beliau.
Sebelum ini, media melaporkan JAIS sedang menjalankan siasatan ke atas individu disyaki melakukan perbuatan melanggar hukum syarat dengan melakukan ritual agama lain semasa perayaan Thaipusam di Batu Caves.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

